BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memacu kecemerlangan dalam memperkasakan literasi digital TVET melalui penganjuran ‘Program Pemerkasaan Digital: Bengkel Hands-On IoT Reka bentuk Sistem Berasaskan ESP32 Blynk Siri 1 dan 2.’

Program yang berlangsung pada 04 Februari dan 04 Mac 2026 itu merupakan inisiatif strategik untuk mendedahkan pelajar kepada teknologi Internet Kebendaan (IoT) yang menjadi teras dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Selain memenuhi keperluan kurikulum, bengkel itu dirangka sebagai platform intensif untuk mengasah kemahiran teknikal pelajar bagi mendepani pertandingan kemahiran berprestasi tinggi seperti KVSkills dan WorldSkills.

Penganjuran bengkel itu diterajui oleh ketua projek merangkap pengarah program, Dr. Normah Zakaria, dengan bimbingan pakar, Ts. Abd. Rahim Kasiman.

Mereka dibantu oleh kumpulan fasilitator daripada UTHM bagi membimbing 25 pelajar Diploma Vokasional Malaysia (DVM) bertempat di Makmal Komputer (ICT), Kolej Vokasional Batu Pahat.

Program ini juga merupakan anjuran bersama FPTV UTHM dan Jabatan Teknologi Elektronik, Kolej Vokasional Batu Pahat dengan penyelarasan pihak kolej yang dikelola oleh Ketua Program Teknologi Elektronik, Nor Suzyliana Ahmad.

Objektif utama program itu adalah untuk memastikan para peserta menguasai integrasi mikropengawal ESP32 dengan platform awan Blynk serta berkebolehan membangunkan dashboard kawalan pintar pada telefon pintar, satu elemen kritikal yang sering diuji dalam modul Electronics dan Smart Systems di peringkat KVSkills dan WorldSkills.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek (project-based learning), modul yang ditawarkan merangkumi kriteria penilaian standard pertandingan kemahiran, antaranya  Kawalan Input & Output: Mengendalikan LED dan penterjemahan data sensor secara real-time, Automasi Lanjutan: Penggunaan BlynkTimer, Wifi Provisioning, serta teknik penghantaran data ke Google Sheets dan Inovasi Prototaip: Pembangunan sistem “Smart Room Control” dan “Kawalan Tangki Air Automatik” sebagai simulasi tugasan dunia sebenar dan penyelesaian masalah teknikal yang kompleks.

Menurut Dr. Normah, program itu menjadi platform strategik untuk merapatkan jurang kemahiran antara graduan vokasional dengan keperluan industri serta standard pertandingan kemahiran antarabangsa.

“Usaha ini disifatkan kritikal bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam Projek Tahun Akhir (PTA), malah mampu bersaing sebagai wakil negara dalam bidang kejuruteraan elektronik dan sistem pintar.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan FPTV UTHM dalam melahirkan modal insan yang kompeten, inovatif, dan mempunyai kebolehpasaran tinggi selaras dengan aspirasi melahirkan juara kemahiran di pentas dunia,” katanya.