Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi tuan rumah kepada Bengkel Colombo Plan Staff College (CPSC-UTHM) yang diadakan pada 3 hingga 4 November lalu, bertempat di Makmal Pengajaran Mikro FPTV.
Bengkel tersebut dihadiri oleh 25 peserta dari 14 buah negara iaitu Malaysia, Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, Fiji, India, Korea, Maldives, Myanmar, Mongolia, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Philippines, Singapura, Sri Lanka dan Thailand.  Kehadiran bengkel ini turut disertai oleh lima peserta daripada FPTV, iaitu Dekan FPTV, Profesor Madya Dr. Razali Hassan, Dr. Saifullizam Puteh, Dr. Yusmarwati Yusof, Dr. Lee Ming Foong dan Cik Yee Mei Heong.
CPSC yang ditubuhkan pada tahun 1973 hasil daripada persetujuan 17 buah Negara adalah untuk meningkatkan taraf Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV) melalui program-program dan kursus-kursus yang ditawarkan sepanjang tahun. Pada tahun 2004, CPSC menubuhkan Asia-Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) iaitu sebuah badan akreditasi yang menawarkan akreditasi TVET yang setara dalam kalangan Negara-negara di Asia Pasifik.
Bengkel yang julung kali diadakan di UTHM ini bertemakan ‘Quality Assurance through International Accreditation’ bertujuan untuk meningkatkan kualiti TVET melalui proses akreditasi. Peserta-peserta diberi pendedahan melakukan akreditasi mengikut standard APACC dan akhirnya membolehkan mereka melakukan akreditasi di pusat-pusat pendidikan Teknikal dan Vokasional di negara masing-masing. Bengkel ini juga merupakan salah satu aktiviti Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara UTHM dan CPSC pada November 2011 lalu.
Penganjuran bengkel yang diketuai Dr. Muhammad Naim Yaakub selaku Ketua Pengarah CPSC dan Profesor Dr. Jailani Md Yunos sebagai Koordinator turut dikelolakan oleh 14 staf FPTV dan pelaksanaannya turut mendapat pujian dari pihak CPSC.
Bengkel ini disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan majlis penutupannya pula disempurnakan oleh Dekan FPTV, Profesor Madya Dr. Razali Hassan. UTHM berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi bersama CPSC untuk menjadikan UTHM sebuah Pusat Akreditasi APACC untuk negara-negara Asia Pasifik di masa hadapan.

Source: UTHM tuan rumah Bengkel CPSC libatkan penyertaan peserta dari 14 negara