Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Kali Ke-14, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor.
Watikah Perlantikan Pro-Canselor telah diserahkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor merangkap Pro-Canselor UTHM semasa berlangsungnya sidang pertama konvokesyen.
Dengan pemasyhuran ini, UTHM memiliki dua orang Pro-Canselor iaitu DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang telah dimasyhurkan sejak tahun 2010 dan juga Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Tan Sri Dr. Ali Hamsa, pemegang Ijazah Kedoktoran Sains Alam Sekitar dan Ekonomi dari Oklahoma State University ini memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13 kepada Kerajaan Malaysia sejak Jun 2012. Beliau juga turut menjawat beberapa jawatan penting seperti Pengerusi Mass Rapid Transit (MRT) Corporation, Pengerusi Institut Integriti Malaysia, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan dan Timbalan Pengerusi Johor Corporation.
Tan Sri Dr. Ali juga merupakan Ahli kepada Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad, Ahli Lembaga Pengarah Bintulu Port Holding, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Unit Penyelarasan Agenda Bumiputera. Di peringkat antarabangsa, beliau adalah Naib Presiden Persatuan Komanwel untuk Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM).
Dalam kesibukannya menerajui beberapa jawatan penting, Tan Sri Dr. Ali Hamsa juga turut berkongsi pengetahuannya dengan menulis secara bersama dua buah buku berjudul “Dasar-Dasar Utama Kerajaan” (1997) dan “Malaysia Kita” 1998. Buku-buku ini menjadi rujukan utama dalam kalangan kakitangan kerajaan. Kewibawaan beliau sebagai seorang pemimpin menjadi sebab mengapa beliau dipilih sebagai Pro Canselor UTHM.
Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 3477 orang siswazah menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (29 orang), Sarjana (488 orang), Sarjana Muda (2337 orang) dan Diploma (623 orang). Beberapa anugerah seperti Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajah Aishah Ghani, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni UTHM, Anugerah Koperasi UTHM dan Anugerah UTHM Holdings turut diberikan kepada 23 orang graduan terpilih.
Selain itu konvokesyen kali ini juga menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada tiga orang penerima iaitu Presiden Nagaoka University of Technology, Dr. Koichi Niihara, Profesor dari University of Bremen, Professor Dr. Georg Spottl dan Pemain Badminton negara, Datuk Misbun Sidek.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, YB Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Haji Ismail Karim, ADUN-ADUN dan pegawai-pegawai kanan universiti.
konvoksn_350x323_1da12056a4943add4a08265d96e4393a