Pada 8 Mac 2025 lalu bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan kepentingan memberikan ruang dan peluang yang mencukupi kepada wanita dalam semua aspek pembangunan negara. Beliau menegaskan bahawa peranan wanita adalah integral kerana mereka merupakan paksi dalam kehidupan masyarakat dan memperkukuh pembangunan negara.
Pencapaian luar biasa wanita dalam pelbagai bidang harus diraikan kerana, peranan wanita bukan sekadar menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi juga mencipta perubahan yang memberi impak mendalam kepada masyarakat. Wanita-wanita hebat ini bukan sahaja menembusi halangan, malah mereka turut mengubah peraturan permainan, mencerminkan semangat sejati seorang wanita.
Wanita dalam kepimpinan dan pembangunan negara
Wanita memainkan peranan penting dalam kepimpinan dan pembangunan negara. Penyertaan wanita semakin meningkat dalam sektor politik, ekonomi dan sosial. Dalam sektor politik, 14.9% kerusi parlimen diisi oleh pemimpin Wanita. Peratusan ini adalah semakin meningkat berbanding dekad yang lalu, namun masih jauh di bawah sasaran 30% yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam sektor korporat pula, perwakilan wanita dalam jawatan pengurusan kanan di Malaysia menunjukkan trend penurunan. Menurut laporan Women in Business oleh Grant Thornton, peratusan wanita yang memegang jawatan pengurusan kanan menurun daripada 40.4% pada 2023 kepada 39.6% pada 2024, dan dijangka menurun lagi kepada 36.2% pada 2025. Ini menunjukkan perlunya dasar yang lebih kukuh bagi memperkasa kepimpinan wanita. Inisiatif seperti Dasar Wanita Negara 2025-2030 serta program pemerkasaan kepimpinan wanita membantu meningkatkan penyertaan mereka dalam pembuatan dasar dan ekonomi, memperkukuh peranan wanita sebagai pemacu utama pembangunan negara.
Memberi peluang lebih besar kepada wanita dalam pembangunan negara bukan sekadar satu keperluan, tetapi satu keutamaan bagi memastikan kemajuan yang lebih inklusif dan lestari. Wanita bukan sahaja perlu diberi ruang dalam kepimpinan dan pembuatan dasar, tetapi juga diiktiraf sebagai pemacu utama dalam pelbagai sektor strategik. Tokoh wanita seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, telah memainkan peranan penting dalam membentuk dasar kewangan negara, memastikan kestabilan ekonomi, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sistem kewangan global. Sementara itu, Prof. Emerita Datuk Dr. Mazlan Othman, yang merupakan saintis astrofizik wanita terkemuka, telah membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam bidang kajian angkasa lepas. Lebih mengagumkan, beliau memberi sumbangan kepakaran dalam sebuah disiplin yang sangat eksklusif dan jarang diceburi, khususnya oleh wanita. Kepimpinan serta sumbangannya dalam membangunkan program angkasa Malaysia, termasuk penubuhan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), serta peranan beliau di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Pengarah Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas, menjadikannya ikon dalam dunia sains dan teknologi. Kejayaan tokoh-tokoh ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan wanita dalam menerajui perubahan, tetapi juga menjadi inspirasi bagi generasi masa depan untuk terus menembusi sempadan keilmuan dan kepimpinan.
Menghadapi cabaran dan merubah realiti
Walaupun pencapaian wanita semakin diiktiraf, mereka masih berdepan pelbagai cabaran seperti diskriminasi di tempat kerja, ketidakseimbangan gaji, serta kurangnya penyertaan dalam sektor kepimpinan dan pembuatan dasar. Laporan World Economic Forum’s Global Gender Gap Report 2024 menunjukkan bahawa wanita secara purata masih menerima 20% gaji lebih rendah berbanding lelaki untuk pekerjaan yang sama, manakala di Malaysia, penyertaan wanita dalam tenaga kerja formal masih di bawah 50% walaupun mereka membentuk lebih 55% graduan universiti. Selain itu, wanita juga sering berdepan cabaran dalam mencapai keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga, dengan kajian menunjukkan bahawa wanita di Malaysia menghabiskan hampir tiga kali ganda lebih banyak masa berbanding lelaki dalam kerja domestik dan penjagaan keluarga, yang seterusnya menjejaskan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya. Kekurangan dasar sokongan seperti cuti ibu bapa yang lebih fleksibel dan akses kepada penjagaan kanak-kanak berkualiti turut menjadi faktor yang menghalang wanita daripada mencapai potensi penuh mereka.
Inspirasi untuk generasi akan datang
Perjalanan wanita dalam menulis semula peraturan permainan bukan sahaja menjadi pencetus perubahan di Malaysia, tetapi juga memberi inspirasi di peringkat global. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim, masa depan pembangunan negara tidak boleh dipisahkan daripada pemerkasaan wanita, kerana kemajuan sesebuah negara bergantung pada sejauh mana potensi wanita dioptimumkan. Wanita bukan sahaja pemimpin dalam sektor ekonomi, politik dan sosial, tetapi juga pemangkin utama dalam pembentukan generasi akan datang. Mereka mendidik, membimbing dan membentuk nilai serta asas yang menentukan masa depan sesebuah masyarakat.
Dengan lebih banyak peluang, dasar yang menyokong kemajuan wanita, serta perubahan dalam minda masyarakat terhadap peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan, kita akan terus menyaksikan kemunculan lebih ramai pemimpin wanita yang bukan sekadar menyesuaikan diri dengan permainan sedia ada, tetapi turut merangka dan menerajui perubahan dalam sistem itu sendiri. Usaha pemerkasaan Wanita dalam Dasar Wanita Negara 2025-2030 memperkukuh perlindungan serta memperkasa wanita dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk memperluas peluang ekonomi, meningkatkan keselamatan sosial, serta memperkukuh penyertaan mereka dalam sektor strategik
Hari Wanita Antarabangsa 2025 menjadi peringatan bahawa perjuangan ini masih berterusan dan setiap wanita, tanpa mengira latar belakang, berhak menerima peluang yang sama untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya. Dengan memperkasa wanita, kita bukan sahaja memastikan pembangunan yang lebih inklusif, tetapi juga menjamin masa depan generasi akan datang yang lebih cerah dan sejahtera.

Prof. Madya Ts. Dr Raja Zuraidah Binti Raja Mohd Rasi
Ketua,
Centre of Research for Services and Operations Management (CRSOM)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 12), 3 April 2025: Penangan dan cabaran `tangan menghayun buaian’

2. Berita Harian (bharian.com.my), 3 April 2025: Penangan dan cabaran `tangan menghayun buaian’
