Johor Darul Ta’zim, negeri yang kaya dengan sejarah, budaya dan keunikan, kini melangkah lebih jauh dalam merealisasikan visi pendidikan berkualiti untuk rakyatnya. Dengan dasar yang jelas dan komitmen teguh daripada Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, kerajaan negeri Johor mengorak langkah berani dalam menubuhkan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), yang diharapkan dapat menjadi pencetus perubahan besar dalam sistem pendidikan negara.

Dikenali sebagai sebuah negeri moden dengan sejarah tersendiri, seperti pengenalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada 1895 yang dimasyhurkan oleh Sultan Abu Bakar, inisiatif SRBJ merupakan kesinambungan kepada legasi kebijaksanaan pemimpin Johor dalam merancang kemajuan negeri melalui formula pendidikan yang berfokus pada keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Jika pada tahun 1862, Temenggung Abu Bakar boleh memperkenalkan baju Melayu Teluk Belanga yang menjadi identiti unik negeri Johor sehingga kini maka, tidak hairanlah SRBJ juga mampu menjadi simbol kemajuan dan keunikan Johor dalam mendidik anak bangsa. Dalam titah rasmi Pemangku Sultan Johor, baginda menekankan kepentingan pendidikan berkualiti untuk memastikan anak-anak Bangsa Johor tidak ketinggalan. Apa yang jelas, penubuhan Sekolah Rintis Bangsa Johor bukan sahaja menepati aspirasi Baginda, tetapi juga mencerminkan satu perubahan paradigma dalam pendidikan yang lebih bersepadu dan holistik.

Penubuhan Sekolah Rintis Bangsa Johor selaras dengan tema Belanjawan Johor 2025, “Maju Johor, Rakyat Sejahtera” yang menekankan usaha kerajaan negeri dalam memajukan pendidikan sebagai asas kemajuan sosial dan ekonomi rakyat Johor. Ini menunjukkan bahawa kepimpinan kerajaan negeri Johor, yang diketuai oleh Menteri Besar Johor, sentiasa meletakkan keperluan serta masa depan rakyat Johor sebagai keutamaan. Langkah ini bukan hanya memfokuskan kepada pencapaian akademik semata, tetapi juga membina nilai-nilai perpaduan, kepimpinan dan keusahawanan yang akan memperkasa potensi setiap individu, sekali gus menghasilkan generasi yang berkualiti dan seimbang.

Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030, yang berusaha menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing, sambil menjaga kesejahteraan rakyat melalui pembangunan pendidikan yang inklusif dan lestari. Dengan penekanan kepada penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengukuhan bahasa Inggeris, serta pemerkasaan modal insan, SRBJ memainkan peranan penting dalam memastikan generasi Johor bersedia menghadapi cabaran global. Penguasaan terhadap STEM memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi dan inovasi semasa serta mempersiapkan mereka untuk menyertai industri masa depan yang berasaskan teknologi. Selain itu, SRBJ turut menekankan pengukuhan bahasa Inggeris untuk memastikan pelajar bukan sahaja menguasai bahasa tempatan tetapi juga bahasa global yang penting dalam komunikasi dan perkembangan profesional.

Tidak hanya menekankan kepada elemen kepimpinan, SRBJ turut memberi penekanan besar kepada elemen keusahawanan. Generasi muda di sekolah akan dididik dengan nilai-nilai kepimpinan, yang membolehkan mereka berkembang sebagai pemimpin masa depan, bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam bidang profesional dan sosial. Dengan pengukuhan kemahiran keusahawanan, pelajar diajar bagaimana untuk mencipta peluang, berfikir di luar kotak dan membangunkan inisiatif perniagaan mereka sendiri yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat dan ekonomi negeri Johor.

Pelaksanaan SRBJ secara tidak langsung mencerminkan model pembangunan pendidikan komprehensif kerana ia bukan sahaja memfokuskan kepada kemenjadian pelajar yang holistik, tetapi juga peningkatan kompetensi sumber manusia, khususnya dalam kalangan guru. Ini akan dijayakan melalui program latihan dan pembangunan profesional yang berterusan, yang mana para pendidik dilatih dengan teknik pengajaran moden dan inovatif, termasuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris. Para guru bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan akademik, tetapi juga kemahiran dalam membangunkan sahsiah, kemahiran berfikir kritis dan kemahiran hidup pelajar untuk memastikan mereka mampu beradaptasi dengan keperluan zaman.

Dari sudut pandang lain, SRBJ diyakini akan memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan antarabangsa dan pihak swasta untuk memastikan pelajar mendapat pendedahan yang meluas dalam bidang teknologi, sains dan keusahawanan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk kecemerlangan akademik dan kerjaya profesional. Semua ini bertujuan memastikan bahawa setiap anak Johor memiliki peluang yang sama untuk berkembang mengikut potensi mereka yang sebenar, selain mewujudkan Bangsa Johor yang dinamik dan berdaya saing.

Dengan penglibatan aktif semua pihak, daripada kerajaan hingga masyarakat, serta tekad yang tinggi daripada Pemangku Sultan Johor, negeri Johor kini melangkah lebih jauh untuk merealisasikan pendidikan berkualiti untuk semua. Inisiatif ini bakal menjadi mercu tanda Johor dalam menghadapi transformasi pendidikan holistik, yang mencerminkan semangat juang dan jati diri Bangsa Johor yang sentiasa berusaha untuk cemerlang, berjaya dan berdaya saing. Jika Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu melakar kejayaan di pentas antarabangsa dalam bidang sukan, tidak mustahil SBRJ turut mampu menjadi model unggul dalam bidang pendidikan di peringkat negara mahu pun dunia.

Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) adalah langkah pertama Johor untuk menjadikan negeri ini sebagai peneraju pendidikan, membina generasi yang bukan sahaja intelektual dan profesional, tetapi juga berdaya saing, penuh semangat perpaduan, dan kepimpinan. Pelaksanaan SRBJ sebagai satu model pembangunan pendidikan yang strategik dan holistik dapat dibuktikan apabila menyentuh beberapa elemen seperti:

Pendidikan holistik yang menyokong kecemerlangan dan inovasi

Dalam Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang terlibat dalam projek SRBJ. Sekolah-sekolah ini akan dilengkapi dengan kemudahan moden seperti makmal komputer, bilik sains dan infrastruktur pembelajaran dinamik yang selaras dengan keperluan teknologi semasa. Ini bertujuan untuk memastikan SRBJ menyediakan pendidikan yang bukan sahaja berasaskan akademik tetapi juga mencabar pelajar untuk mempelajari kemahiran STEM, inovasi dan keusahawanan.

Perpaduan Bangsa Johor, cerminan kekuatan masyarakat

Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bukan sahaja berfokus kepada kecemerlangan pendidikan, tetapi juga bertujuan memperkukuh perpaduan antara pelajar dan guru dari pelbagai latar belakang. Mengakui bahawa Bangsa Johor terdiri daripada masyarakat yang berbilang agama, budaya dan bahasa, SRBJ diyakini akan menjadi platform efektif dalam mengukuhkan perpaduan yang telah terjalin. Keunggulan perpaduan ini terbukti apabila juadah tradisional seperti Laksa Johor dan Nasi Ambeng diterima baik oleh etnik Cina dan India, menggambarkan kemesraan antara kaum.

Sementara itu, Pesta Perarakan Chingay yang diadakan setiap tahun juga menjadi bukti Johor sebagai contoh perpaduan antara pelbagai kaum. Begitu juga dengan pembinaan Kuil Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman di Johor Bahru, yang mencatat sejarah sebagai kuil kaca pertama di Malaysia pada 2010, menggunakan lebih 300,000 kepingan kaca. Kuil ini bukan hanya tarikan pelancong, tetapi juga simbol kekuatan perpaduan masyarakat Johor yang sentiasa memajukan negeri melalui kekayaan budaya dan warisan yang dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Keunikan Johor dalam memimpin pembangunan pendidikan

Negeri Johor bukan sahaja dikenali dengan kemajuan ekonominya, tetapi juga dengan pengaruh budaya dan sejarah kepemimpinan yang kukuh. Sejak zaman pemerintahan terdahulu, kepimpinan Johor telah memberi penekanan serius terhadap pendidikan, menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi. Salah satu contoh penting adalah penubuhan Sekolah Agama Kerajaan Johor, yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor. Sekolah-sekolah ini diwujudkan atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar, dengan tujuan untuk memberikan pendidikan agama secara percuma kepada kanak-kanak Islam di negeri ini. Pengajaran dilaksanakan dalam Bahasa Melayu, memastikan pendidikan agama yang sistematik dan teratur, serta dikawal selia oleh pihak pemerintah.

Selain itu, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar juga turut mengasaskan Johor Free School pada tahun 1864, yang membuka jalan kepada pendidikan moden. Ini bertujuan untuk memastikan generasi Johor tidak hanya cemerlang dalam bidang agama, tetapi juga dalam ilmu akademik, agar mereka lebih berilmu dan dapat bersaing di peringkat global. Langkah-langkah ini jelas menunjukkan kesungguhan Johor dalam membentuk sebuah masyarakat yang maju, berdaya saing dan berpengetahuan luas. Kini, di bawah kepemimpinan Tunku Mahkota Ismail, Johor sekali lagi menunjukkan ketokohan dalam memperkasa pendidikan untuk kesejahteraan anak bangsa dan pembangunan negeri.

Kejuaraan, kepemimpinan dan potensi ekonomi Johor

Sebagaimana Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dikenali sebagai salah satu pasukan bola sepak terhebat di Asia, Johor juga yakin dapat mencatatkan kejuaraan dalam bidang pendidikan. Kejayaan JDT sebagai juara Liga Super Malaysia dan pencapaian gemilang di peringkat antarabangsa, seperti dalam Liga AFC, membuktikan bahawa Johor bukan sahaja cemerlang dalam sukan, tetapi juga boleh dalam bidang pendidikan serta pembangunan sosio-ekonomi. Formula semangat juang yang diterapkan dalam kalangan pemain JDT sudah pasti akan diadaptasi dan diterjemahkan dalam konteks pendidikan untuk mencipta generasi yang berdaya saing. Inisiatif SRBJ diyakini dapat melahirkan individu yang bersedia menghadapi perkembangan ekonomi pesat negeri, khususnya dalam bidang STEM, inovasi, dan keusahawanan, selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan masa depan serta menyokong pembangunan Johor sebagai zon ekonomi khas melalui Johor State Special Economic Zone (JS SEZ). Dengan pengukuhan JS SEZ, negeri Johor dijangka menjadi pusat pertumbuhan ekonomi yang penting, dan SRBJ akan menjadi platform utama untuk menyediakan modal insan yang siap sedia memenuhi keperluan industri serta memacu ekonomi negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Dapat disimpulkan bahawa penubuhan Sekolah Rintis Bangsa Johor adalah satu inisiatif yang bukan hanya mencerminkan kecemerlangan pendidikan, tetapi juga menegaskan keunikan Johor sebagai negeri yang sentiasa berinovasi, intelek dan berdaya saing. Dengan komitmen daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan Menteri Besar Johor, SRBJ bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik tetapi juga kepada pembangunan nilai-nilai perpaduan, kepimpinan, dan keusahawanan. Sekolah ini adalah simbol bahawa Johor sentiasa menjadi perintis, mencipta jalan untuk masa depan yang lebih cemerlang bagi generasi muda, dan memastikan negeri ini terus berada di barisan hadapan dalam pendidikan, sosial, dan ekonomi._Foto MDJ Nurina Aisyah

 

 

Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 19 Mac 2025: Sekolah Rintis Bangsa Johor pacu pendidikan holistik