Menjelang tahun 2025, negeri Johor bersedia untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang bertujuan memastikan keseimbangan pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai contoh kemajuan yang inklusif. Berlandaskan Belanjawan Johor 2025 yang bertemakan “Maju Johor, Rakyat Sejahtera”, kerajaan negeri menekankan kepentingan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pengukuhan ekonomi, infrastruktur, pendidikan, peluang pekerjaan serta tadbir urus yang cekap.
Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, dalam pembentangan belanjawan negeri, menggariskan enam teras utama bagi memastikan Johor terus berkembang sebagai hab ekonomi yang kompetitif dan negeri yang sejahtera. Teras-teras utama tersebut meliputi pembangunan ekonomi yang lestari, peningkatan kemudahan awam, pengukuhan sektor pendidikan, pemerkasaan kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar, dan pentadbiran yang cekap dan telus. Semua teras ini diatur dengan tujuan untuk membawa Johor ke hadapan dalam era kemajuan yang adil, inklusif, dan lebih seimbang.
Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), dalam amanat sempena tahun baharu, menegaskan bahawa kualiti hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur menjadi keutamaan Johor bagi tahun mendatang. Tunku Mahkota juga mengingatkan bahawa kejayaan dalam pembangunan ekonomi dan sosial sepanjang tahun 2024 akan menjadi asas kukuh bagi membawa perubahan lebih besar dalam usaha mempertingkatkan kesejahteraan Bangsa Johor. Sebagai pemimpin berjiwa rakyat, TMJ menekankan bahawa tiada rakyat Johor yang harus tertinggal, dan seluruh masyarakat harus merasai manfaat pembangunan negeri yang progresif ini.
Strategi Kesejahteraan Sosial Johor 2025
Kesejahteraan sosial bukan sahaja teras dalam membangunkan negeri, malah ia adalah cerminan kematangan dan keadilan dalam sebuah masyarakat yang maju dan inklusif. Dengan komitmen yang teguh, kerajaan negeri Johor bertekad memastikan bahawa setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi, dapat merasai hasil daripada kemajuan yang dicapai. Bagi merealisasikan matlamat ini, pelbagai strategi yang dinamik dan inovatif sedang dirangka, berusaha mengatasi setiap cabaran sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh golongan yang paling memerlukan.
Dalam memastikan tiada rakyat Johor yang tertinggal dalam arus pembangunan pesat, kerajaan negeri Johor telah menggubal pelbagai perancangan strategik yang berfokuskan kepada kesejahteraan sosial secara holistik. Matlamat utama adalah untuk menyediakan jaminan sosial yang inklusif kepada setiap lapisan masyarakat, dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi terpinggir, termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah (B40).
Penyelarasan sistem bantuan kebajikan yang lebih maju
Bagi memastikan bantuan kebajikan sampai tepat kepada mereka yang memerlukan, kerajaan negeri Johor telah melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan sistem bantuan sosial bersepadu yang menggabungkan kecanggihan teknologi digital. Platform seperti e-Bantuan Johor memberi kemudahan kepada golongan yang layak untuk memohon bantuan secara dalam talian, menjadikannya lebih cepat, mudah dan tanpa sebarang birokrasi. Dengan satu klik, rakyat Johor yang layak untuk menerima Bantuan Warga Emas, Bantuan OKU, Bantuan Ibu Tunggal dan bantuan untuk keluarga B40 dapat merasai manfaatnya dalam masa yang lebih singkat dan tepat.
Lebih menarik, kerajaan negeri juga melancarkan sistem-sistem pintar seperti eKhas Johor, Sistem Bantuan Anak Johor (SBAJ) dan Sistem Bantuan Ibu Tunggal Johor yang memberikan fokus langsung kepada golongan yang paling terdesak. Tidak ketinggalan, Portal Johor Jobs menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran secara mudah, memberi harapan baru bagi golongan B40 serta mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan, untuk kembali berdikari.
Melalui platform-platform ini, setiap pemohon dapat menyemak status permohonan mereka secara langsung, memastikan bantuan disalurkan dengan penuh ketelusan dan tanpa ada yang terlepas. Dengan penggunaan data terkini yang tepat dan tepat pada sasaran, kerajaan negeri Johor bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah mengukuhkan komitmen untuk memastikan tiada rakyat Johor yang tertinggal dalam arus pembangunan.
Meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti
Peningkatan kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi fokus utama dalam memastikan rakyat Johor terus berdaya saing dan berwawasan tinggi di peringkat global. Kerajaan negeri Johor sedar bahawa kesejahteraan sosial yang sebenar tidak akan tercapai tanpa asas pendidikan yang kukuh. Oleh itu, kerajaan negeri komited untuk memperkenalkan lebih banyak inisiatif pendidikan yang menyeluruh dan inklusif, bagi memberi peluang yang sama rata kepada setiap anak Johor, tanpa mengira latar belakang kewangan keluarga, untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan masa hadapan.
Antara langkah utama yang akan diperkenalkan adalah skema biasiswa dan bantuan kewangan pendidikan bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk memastikan mereka tidak tercicir dalam mengejar cita-cita mereka. Pelajar-pelajar dari golongan ini akan dibantu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membuka pintu peluang kepada mereka untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Kerajaan negeri juga akan memastikan pendidikan berkualiti sampai ke setiap penjuru negeri, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Untuk itu, kemudahan pendidikan khas untuk anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) akan diperkenalkan, bagi memastikan mereka mendapat peluang sama rata untuk berkembang dengan dengan anak-anak yang lain. Sekolah-sekolah di luar bandar dan kawasan pedalaman juga akan mendapat perhatian khusus dengan penyediaan kurikulum yang relevan dan program pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
Seiring dengan aspirasi ini, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan kerjasama dengan sektor swasta dan universiti bagi memperkenalkan program latihan kemahiran vokasional, memberi peluang kepada golongan muda untuk memasuki pelbagai bidang pekerjaan yang relevan seperti teknologi, pertanian dan industri kreatif. Langkah ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran anak muda Johor, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Pembangunan perumahan mampu milik
Menyedari bahawa perumahan adalah nadi kepada kesejahteraan sosial yang mampan dan berdaya saing maka, kerajaan negeri Johor bertekad untuk melancarkan lebih banyak projek perumahan mampu milik pada tahun 2025, dengan fokus utama pada golongan B40 dan M40. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, selesa dan berpatutan melalui pemilikan rumah.
Dengan sokongan Belanjawan Johor 2025, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM500 juta bagi merealisasikan impian ini, termasuk membangunkan lebih daripada 20,000 unit rumah di beberapa kawasan strategik seperti Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing dan Batu Pahat. Projek-projek besar ini tidak hanya akan menampung permintaan perumahan yang semakin meningkat, malah akan mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat, menyemarakkan sektor pembinaan dan menggerakkan ekonomi Johor ke arah yang lebih mampan.
Bagi memastikan kejayaan pembangunan perumahan ini, kerajaan negeri Johor akan memanfaatkan kerjasama strategik dengan pemaju swasta dan pihak berkuasa tempatan, seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini bertujuan untuk memastikan rumah yang dibina bukan sahaja mampu dimiliki, tetapi juga berkualiti tinggi, mesra alam dan sesuai untuk kehidupan moden tanpa mengabaikan prinsip-prinsip kesesuaian syariah dan nilai-nilai tempatan. Lebih daripada itu, aspek kemudahan awam termasuk akses pengangkutan, sekolah, hospital dan ruang rekreasi akan diperhatikan dengan teliti untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni.
Sebagai usaha tambahan untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama, kerajaan negeri Johor akan memperkenalkan skim pembiayaan rumah yang lebih fleksibel pada tahun 2025. Melalui kerjasama dengan institusi kewangan tempatan, skim ini akan menawarkan pinjaman tanpa faedah atau dengan kadar faedah rendah, akan memberi kelegaan kepada golongan B40 dan M40 untuk merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri. Langkah ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri Johor untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memberi mereka peluang yang lebih baik untuk menikmati kediaman yang lebih selesa dan stabil.
Pengembangan infrastruktur awam dan sokongan sosial untuk golongan rentan
Kerajaan negeri Johor pada tahun 2025 akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur awam yang mesra golongan rentan, termasuk kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal. Fokus utama adalah untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif, yang mana setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan awam dengan selesa dan tanpa halangan.
Sebagai contoh, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM200 juta untuk meningkatkan aksesibiliti kemudahan awam bagi OKU dan warga emas di kawasan-kawasan utama seperti Johor Bahru, Muar dan Kluang. Pembangunan kemudahan ini melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki mesra OKU, tandas awam yang mudah diakses, serta sistem pengangkutan awam yang sesuai untuk mereka yang memerlukan bantuan. Projek pengubahsuaian bas dan teksi yang boleh menampung pengguna OKU juga sedang dijalankan dengan kerjasama syarikat pengangkutan tempatan. Langkah ini bertujuan menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih mesra OKU dan warga emas, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.
Dalam usaha memastikan tiada rakyat yang tertinggal, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk membangunkan lebih banyak taman permainan kanak-kanak yang lebih selamat dan mesra keluarga, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar. Selain memastikan kanak-kanak Bangsa Johor dapat menikmati masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, serta memperkukuhkan perpaduan komuniti, ia juga membantu kanak-kanak meingkatkan perkembangan psikososial yang sejahtera.
Kerajaan negeri juga akan melancarkan program penghijauan bandar yang melibatkan penanaman pokok di taman-taman awam, sepanjang jalan raya dan di kawasan lapang. Inisiatif ini bertujuan untuk menurunkan suhu bandar, meningkatkan kualiti udara, serta menyediakan ruang rekreasi yang lebih selesa dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, termasuk golongan rentan. Program ini selaras dengan SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari, yang menekankan pembangunan bandar yang lebih inklusif, selamat, tahan bencana dan lestari. Melalui penghijauan bandar, kita bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar, tetapi juga meningkatkan ketahanan bandar terhadap perubahan iklim dan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat, yang menyokong kesejahteraan seluruh komuniti.
Bagi menambah baik sokongan sosial kepada golongan yang menghadapi tekanan hidup, kerajaan negeri Johor juga akan menubuhkan lebih banyak pusat sokongan mental dan kaunseling di seluruh negeri. Program-program seperti kaunseling percuma, terapi psikologi dan sesi sokongan kumpulan akan disediakan untuk membantu mereka yang berdepan dengan masalah kewangan, kesihatan atau pekerjaan. Dengan peruntukan RM10 juta dalam Belanjawan Johor 2025, kerajaan negeri akan memastikan lebih ramai rakyat Johor mendapat akses kepada bantuan mental dan emosi, serta memberi sokongan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri Johor untuk memastikan kesejahteraan sosial dan kesihatan mental rakyatnya, terutama bagi golongan rentan, dapat dipelihara dan dipertingkatkan selaras dengan matlamat pembangunan yang inklusif dan mampan pada tahun 2025.
Dengan segala perancangan strategik yang telah digariskan, Johor 2025 dijangka akan menjadi model negeri yang inklusif dan sejahtera. Kerajaan negeri Johor sentiasa komited untuk memastikan bahawa tiada rakyat yang tertinggal dalam arus pembangunan. Melalui pendekatan holistik, yang merangkumi pendidikan, kebajikan, peluang pekerjaan, subsidi sara hidup dan pembangunan infrastruktur, kesejahteraan sosial di Johor akan diperkasakan untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang mereka. Johor 2025 bukan hanya tentang kemajuan ekonomi, tetapi juga tentang mencipta kehidupan yang lebih baik bagi rakyat negeri ini.

Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
