Oleh Dr. Kamarul-Azhar Kamarudin
BATU PAHAT, 25 Sept 2024 – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Sekolah Pendidikan Khas Batu Pahat telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertemakan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) sempena berlangsungnya program perkhemahan peringkat kebangsaan di Muar, Johor pada 24 hingga 26 September 2024.
Program CSR tersebut melibatkan aktiviti lawatan ke pusat inovasi dan makmal-makmal FKMP, yang disertai oleh 49 pelajar dan 17 guru sekolah-sekolah khas.
Menurut penasihat program, Prof. Madya Dr. Mohammad ZulAfif Rahim, pelaksanaan program sebegitu adalah untuk mencipta pengalaman baharu kepada pelajar dengan mendedahkan mereka kepada dunia teknologi.
“Lawatan ini tertumpu kepada tiga aktiviti termasuk lawatan ke hangar pesawat, yang mana mereka belajar tentang bahagian kapal terbang dan bagaimana cara penyelenggaraannya dilakukan.
“Lawatan interaktif ini mencetuskan rasa ingin tahu dan keterujaan apabila pelajar mendekati pesawat sebenar,” katanya.
Tambah beliau, para pelajar terbabit juga mengambil bahagian dalam permainan dron, yang mana mereka diajar oleh jurulatih berlesen, Dr. Siti Juita Mastura Mohd Saleh tentang bagaimana cara mengawal dron dalam persekitaran yang selamat.
“Aktiviti ini amat popular kerana pelajar bersaing dalam perlumbaan persahabatan serta mempamerkan kemahiran dan pengalaman mengawal dron.
“Pelajar dan guru juga diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam program kawalan robot, yang mana mereka didedahkan dengan asas-asas pengaturcaraan dan mengawal robot di bawah kendalian Dr. Hanani Wahab.
“Pengalaman tersebut membolehkan pelajar meneroka penyelesaian masalah dan teknologi dengan cara yang menyeronokkan dan praktikal,” katanya.
Sementara itu, Dekan FKMP, Profesor Dr. Amir Khalid pula berkata para pensyarah digalakkan untuk melakukan khidmat masyarakat di musim cuti semester ini, selain berkongsi ilmu kejuruteraan kepada komuniti.
“Aktiviti yang dijalankan ini juga bertujuan meningkatkan kreativiti pelajar dalam menterjemahkan reka bentuk ke aplikasi sebenar sekali gus memberi mereka peluang mengendalikan peralatan Sains secara praktikal,” katanya.
Secara keseluruhannya, inisiatif CSR seumpama itu menyediakan pengalaman pembelajaran yang unik dan memberi inspirasi, memupuk rasa keterangkuman dan pemerkasaan terhadap pelajar dan guru.