Oleh PM Ir. Dr. Sia Chee Kiong
PUNE – Pasukan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat keempat ‘Encouragement prize’ Ketika menyertai pertandingan reka bentuk peringkat akhir global ‘AAKRUTI GLOBAL 2024’ anjuran Dassault Systemes pada 15 November lalu di Pune, India.
Penyertaan UTHM di India buat julung kalinya itu disertai juga oleh pasukan lain antaranya dari Spain, Afrika Selatan, Turkiye dan Mesir.
Pasukan UTHM layak menyertai peringkat akhir hasil setelah meraih kemenangan di Zon AP South pada awal Oktober 2024 lalu yang disertai oleh pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara antaranya Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Pasukan UTHM telah memilih tema ‘Sustainable Mobility’ daripada empat tema yang disenaraikan, dengan memperkenalkan ‘EcoHauler’ iaitu dron menanam pokok jarak jauh.
Kelebihan dron itu adalah kerana menggunakan Relay Drone serta sumber tenaga Hydrogen fuel cell, yang mana ia mampu meningkatkan jangkauan isyarat, pengoperasian yang lebih lama serta sumber tenaga yang lebih bersih.
Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Sia Chee Kiong selaku mentor pasukan tersebut, selain daripada kemahiran penggunaan aplikasi dan peralatan moden serta ilmu pengetahuan yang tinggi, kemahiran insaniah seperti semangat berpasukan serta sifat kepimpinan juga antara faktor yang menyumbang penjanaan idea itu.
Tambah beliau, cetusan idea itu datang daripada empat pelajar FKMP iaitu Cheah Jin Yin, Kong Ming Chai, Yashlen Pichyalagan dan Jonathan Chong Kar Yew.
Kesemua mereka memiliki sijil Professional SolidWorks yang diperoleh pada tahun ketiga pengajian mereka.
“Pihak kami ingin mengucapkan terima kasih juga kepada IME Group of Companies yang telah menaja tiket penerbangan untuk pasukan ini,” tambah beliau.
Sementara itu, Dekan FKMP, Profesor Ts. Dr. Amir Khalid mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan tersebut dan ia jelas menunjukkan bahawa pelajar FKMP mampu bersaing dan kompeten di peringkat antarabangsa, sekali gus berjaya membawa nama UTHM ke peringkat global.