Musim perayaan sudah tiba dan kemeriahannya mula dirasai masyarakat terutama umat Islam yang berjaya menjalani ibadah berpuasa selama sebulan. Namun begitu, selepas Hari Raya Aidilfitri, aduan kes penyakit otot rangka selepas sambutan Aidilfitri kerap dilaporkan. Budaya bertukar juadah dan kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara menuntut kita untuk menyediakan juadah yang lebih banyak dari kebiasaan sehingga ada yang sanggup bersengkang mata untuk membuat persediaan.
Juadah raya di Malaysia terkenal dengan kepelbagaian rempah-ratus dan kaedah memasaknya. Majoriti ahli keluarga akan bergotong-royong menyediakan juadah untuk dinikmati di pagi raya dan juga untuk dihantar ke rumah jiran tetangga. Hal ini menjadikan penyediaan makanan perayaan tersebut bukanlah satu proses yang mudah. Ia mengambil masa yang lama semasa proses penyediaannya sehingga boleh meningkatkan tekanan kepada sistem otot rangka. Ini kerana daya tekanan yang kuat diperlukan untuk memasak dan mengacau juadah terutama jika menggunakan kawah yang besar.
Kegembiraan membuat persediaan menyambut tetamu jauh dan dekat memang tidak dapat disangkal. Bertambah seronok apabila dilakukan bersama-sama orang tersayang, sehingga menyebabkan pola tidur terganggu. Isu ini juga merupakan salah satu punca yang boleh menyebabkan ketegangan otot. Malah jika kekurangan waktu tidur, ditambah pula masih berpuasa, risiko kemalangan adalah tinggi kerana keletihan dan juga kekurangan cecair di dalam badan.
Bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung, faktor berada di dalam kenderaan dalam tempoh masa yang lama juga boleh mengakibatkan keletihan dan ketegangan otot. Apatah lagi jika terlibat dalam kesesakan lalu lintas sehingga tempoh masa berada di dalam kenderaan menjadi lebih panjang dari sepatutnya. Keadaan tersebut bukan sahaja boleh menyebabkan tekanan kepada otot rangka tetapi boleh juga menyebabkan tekanan perasaan sehingga menggangu sistem imunisasi seterusnya menyebabkan keradangan pada anggota badan.
Pemakain busana perayaan yang mempunyai pelbagai rekaan kadang-kala menyebabkan seseorang itu sukar untuk bergerak bebas dan seterusnya menjadikan postur duduk dan berdiri boleh jadi terbatas. Rekaan busana perayaan yang kononnya mengikut tren semasa memang cantik tetapi tidak sihat. Di tambah pula busana perayaan selalu diragakan dengan kasut bertumit tinggi sehingga ianya menjadi ikutan ramai wanita untuk kelihatan cantik di pagi raya. Penggunaan kasut bertumit tinggi juga adalah kurang sihat bagi jangka masa yang panjang.
Bagi membendung masalah sakit otot-rangka seperti yang dinyatakan di atas, perkara-perkara berikut hendaklah diambil perhatian serius.
Membuat perancangan memasak
Contohnya bilangan juadah, bahan yang diperlukan dan persediaan bahan-bahan asas boleh dimulakan lebih awal secara sedikit demi sedikit. Ramuan dan rempah ratus boleh diproses dan disimpan di peti sejuk, protein seperti ayam dan daging boleh dibersihkan dan dipotong dan disimpan mengikut porsi yang diperlukan untuk sesuatu juadah supaya ketika mula memasak semuanya menjadi mudah. Jika memasak menggunakan kawah, boleh menggunakan system ‘buddy’ iaitu bergotong royong berkongsi beban bersama.
Berbahagi tugas
Jika persediaan lebih awal dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berbahagi tugas, maka pola tidur dapat dijaga dengan baik. Walaupun seronok berkumpul dengan kaum keluarga, waktu tidur tetap harus dijaga, kerana semakin ramai ahli keluarga berkumpul, semakin banyak aktiviti fizikal yang dilakukan sehingga waktu rehat boleh jadi tiada dan semakin singkat.
Manfaatkan kemudahan hentian Rehat dan Rawat (RnR)
Manfaatkan sebaik mungkin hentian Rehat dan Rawat (RnR) ketika berada di lebuh raya. Elak pemanduan tanpa rehat kerana pemandu perlu keluar dari kenderaan untuk memperbaiki aliran darah di dalam sistem badan jika sudah memandu melebihi dua jam. Walaupun hanya berhenti sebentar, dan melakukan aktiviti regangan seketika, ianya sangat signifikan kepada kelegaan otot rangka dan kesegaran tubuh badan untuk menyambung perjalanan yang panjang.
Usah jadi mangsa fesyen yang berlebihan
Pilih busana yang selesa, sesuai dengan cuaca semasa dan ringkas. Elak pemakaian kasut bertumit tinggi dan gantikan dengan kasut yang lebih praktikal untuk aktiviti ziarah menziarahi di hari perayaan. Walaupun ianya bukan fesyen terkini, tetapi jika kekemasan dijaga, busana yang ringkas boleh menjadi sangat cantik untuk digayakan oleh tubuh badan yang sihat.
Kesimpulannya, kekallah sihat dan selamat ketika bergembira di hari raya. Jika anda mengalami gejala sakit otot rangka, sila dapatkan rawatan dengan kadar segera. Intervensi awalan selalunya menyelamatkan anda dari penyakit kronik yang menjadikan anda tidak bermaya.
Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Dr. Nurrul Hafeezah Sahak
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat:19), 19 April 2024: Risiko sakit otot rangka ketika raya
2. Utusan (utusan.com.my), 19 April 2024: Risiko sakit otot rangka ketika raya
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/04/risiko-sakit-otot-rangka-ketika-raya/
3. Carikini (carikini.com), 19 April 2024: Risiko sakit otot rangka ketika raya
http://www.carikini.com/risiko-sakit-otot-rangka-ketika-raya-78276.html