Oleh Ts. Inv. Dr. Shelena A/P Soosay Nathan
TOKYO – Bagi memperluaskan potensi kerjasama dan pertukaran ilmu peringkat antarabangsa, enam pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program Mobiliti Global Based Learning (gPBL) peringkat antarabangsa yang diadakan di Shibaura Institute of Technology (SIT), Jepun.
Program yang melibatkan penyertaan lima negara iaitu Malaysia, Jepun, Vietnam, India dan Taiwan turut disertai oleh tiga universiti lain iaitu Huazhong University of Science and Technology (HUST), Ming Chi University dan Phenika University.
Mobiliti antarabangsa tersebut diadakan bertujuan untuk mempromosikan jalinan kerjasama dan pertukaran ilmu antara pelajar dan penyelidik dari negara luar.
Pelbagai aktiviti bermanfaat telah diadakan antaranya aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah berasaskan projek Internet of Things (IoT), pertukaran budaya, lawatan ke Muzium Teknologi Miraikan Jepun, dan perbincangan bersama universiti luar berkaitan promosi dan kerjasama pada masa hadapan seperti pertukaran pelajar, penyelidikan bersama dan perkongsian program akademik.
Bagi aktiviti penyelesaian masalah berasaskan projek IoT, para peserta berpeluang bertukar idea mencari penyelesaian masalah semasa dengan menggunakan teknologi IoT.
Aktiviti tersebut termasuklah pengembangan sistem pintar untuk kegunaan harian, penyelesaian kepada isu-isu alam sekitar dan aplikasi IoT dalam sektor perindustrian.
Enam pelajar UTHM yang menyertai mobiliti tersebut berjaya memperoleh biasiswa program berjumlah 80,000 yen setiap seorang dan turut berjaya meraih dua anugerah iaitu “Reviewer Choice Award” dan “ Student Choice Award.”
Menurut Pensyarah, Ts. Inv. Dr. Shelena Soosay Nathan program tersebut juga menitikberatkan aktiviti pertukaran budaya antara pelajar agar mereka dapat memahami lebih mendalam tentang nilai-nilai budaya masing-masing sekali gus memupuk persefahaman yang lebih baik.
Manakala aktiviti lawatan ke Muzium Teknologi Jepun, Miraikan pula menjadi pengalaman unik bagi para pelajar untuk memahami sejarah dan perkembangan teknologi negara Jepun yang sememangnya terkenal dengan kemajuan teknologi bertaraf antarabangsa.
“Program mobiliti ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, membuka peluang baharu kepada pelajar untuk terus berkembang dan menggalakkan pertukaran pengetahuan serta inovasi antara negara luar.
“Dengan fokus yang diberikan kepada penyelesaian masalah berasaskan teknologi dan pertukaran budaya, penyertaan program seumpama ini menjadi langkah positif ke arah pembangunan pendidikan dan penyelidikan yang lebih holistik dan bersepadu,” katanya.