Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Bagi menyemai minat pelajar sekolah terhadap bidang sains, matematik dan teknologi (STEM), Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan satu program perkongsian ilmu bertajuk “Junior Rocket STEM Program” melibatkan pelajar Sekolah Menengah Tinggi Batu Pahat (HSBP).

Program yang diadakan pada 19 Ogos 2023 lalu itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknologi dan proses pembuatan roket perum, iaitu sebuah roket yang digunakan untuk menghantar barang ke ruang angkasa lepas.

Program itu juga dirangka sebagai salah satu inisiatif FKMP menyokong hasrat UTHM untuk menyebarluaskan ilmu kepada komuniti.

Hasil perkongisan ilmu tersebut akan diaplikasikan oleh peserta sebagai persediaan menyertai pertandingan Malaysia Rocket Competition 2023 (MRC 2023) yang akan diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2023 di Felcra Seberang Perak, Perak.

Teknologi roket perum di UTHM pernah dibangunkan oleh pelajar pascasiswazah FKMP, Iman Fitri Ismai dan Ketua ReCUV, Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin.

Menurut Dr. Ahmad Hamdan, UTHM telah bergerak secara konsortium bersama dengan beberapa universiti lain seperti Universiti Teknologi mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

“Ini selari dengan hasrat UTHM menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan.

“Manakala HSBP pula telah menjadi sekolah perintis bagi projek pertukaran ilmu berkaitan pembinaan roket perum tersebut,” jelas beliau.

Seramai lima pelajar sarjana muda dan dua pelajar pascasiswazah FKMP telah berganding bahu untuk membimbing lapan pelajar HSBP dalam menghasilkan roket perum di Makmal ReCUV.

Perkongsian tersebut dapat mendedahkan pelajar tentang sejarah teknologi roket, proses penilaian reka bentuk menggunakan perisian Open Rocket, pengenalan kepada telemetry serta pembuatan dan penggabungan roket perum. 

Melalui program tersebut, para pelajar terlibat turut dibawa melawat Akademi Dron UTHM, Syarikat Avitex Solution (M) Sdn. Bhd. bagi melihat teknologi dron dan aktiviti latihan dron yang dilaksanakan di UTHM. 

“UTHM akan terus komited meneroka ilmu Baharu, sekali gus berkongsi dengan masyarakat agar nilai keilmuan akan terus mekar dalam kalangan generasi muda,” tambah Dr. Ahmad Hamdan.

 

Ketika melawat makmal dron kargo.
Peserta roket HSBP yang akan turut menyertai pertandingan Malaysia Rocket Competition 2023.