Oleh Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar, Marsya Adlina Azizul Azihan
PAGOH – Bagi membantu pengusaha makanan setempat memohon pensijilan Halal Malaysia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘Program SULAM 2023: Seminar Pensijilan Halal Malaysia Bersama Industri Makanan’ pada 6 Julai 2023 lalu.
Seminar yang dikendalikan oleh 70 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengusaha makanan setempat berkaitan pensijilan halal Malaysia.
Seminar itu juga diadakan bagi menyokong usaha UTHM untuk menyebarkan ilmu dan kemahiran bermanfaat kepada komuniti sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti.
Selain itu, seminar tersebut juga dianjurkan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi dengan Masyarakat, bagi memenuhi keperluan salah satu topik pembelajaran yang ditetapkan dalam silibus kursus Makanan Halal (BWD20702).
Untuk rekod, program SULAM itu telah berlangsung bermula pada Mac lalu sehingga Julai 2023, yang mana seminar pensijilan halal itu merupakan aktiviti terakhir bersama dengan 12 industri makanan terpilih sekitar Pagoh.
Penceramah dari Sudu Emas Consultancy Sdn. Bhd., Mohd Nur Hafizudin Md Adama telah dijemput untuk berkongsi ilmu berkaitan kepentingan memohon sijil halal, langkah-langkah memohon serta isu-isu berbangkit berkaitan status halal.
Hasilnya, kesemua pelajar dan juga para pengusaha makanan setempat memperoleh pengetahuan tentang pensijilan halal dengan lebih mendalam, yang menjadi aspek penting dalam meluaskan pasaran dan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap sesuatu perniagaan.
FAST amat berharap agar program seminar seumpama itu dapat diteruskan penganjurannya pada masa akan datang, dan dijadikan salah satu medan untuk warga universiti memberikan sumbangan kepada masyarakat setempat.