KUALA LUMPUR – Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Sustainable Professional Education for Excellent Development (CoR-SPEED), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama kumpulan penyelidik Korea Polytechnics Corporation (KOPO), telah mengadakan sesi bengkel penyelidikan latihan bermula dari 24 hingga 28 Julai 2023 lalu bertempat di Menara Prestige, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
KOPO merupakan sebuah organisasi yang mempunyai rangkaian 36 politeknik dan kolej vokasional di seluruh negara Korea Selatan.
Organisasi tersebut berperanan untuk melahirkan juruteknik pakar dalam penumpuan teknologi terkini dan menyediakan kerja lapangan mengikut permintaan industri kepada pelajar dan tenaga pengajar serta memastikan pekerjaan sepanjang hayat melalui latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).
Bengkel latihan penyelidikan yang diadakan selama lima hari itu bertujuan untuk meneroka sejauh mana hubungan kerjasama antarabangsa boleh diwujudkan dengan membangunkan model konseptual untuk penglibatan dan galakan hubungan rakan global, dan juga model strategik untuk kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan Korea Selatan.
Menurut Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz, Ketua Pusat Penyelidikan CoR-SPEED, hubungan dua hala itu bermula pada tahun 2020 melalui rakan strategik UTHM dengan TVET-Campus, satu inisiatif oleh Korea Technical University Education (KOREATECH) di bawah Kementerian Buruh Korea yang mengabungkan pelbagai institusi TVET dari Korea, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Laos.
“Kerjasama penyelidikan yang berhasrat untuk membangunkan model komprehensif ini boleh dijadikan rujukan dan panduan bagi memenuhi keperluan negara selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025,” katanya.
Turut berbengkel, ketua-ketua penyelidik dari FPTV iaitu dari Penyelidikan Geran Kebangsaan Kerjasama Malaysia-Thailand-China, Ketua Kumpulan Penyelidikan Fokus TEAMS (Teaching Evaluation, Assessment and Measurements) dan Kumpulan Penyelidikan WoM-TVET (Women and Marginalized-TVET).
Sementara itu, delegasi KOPO turut berkunjung ke UTHM Kampus Induk Parit Raja, Batu Pahat untuk mengadakan perbincangan berkaitan kolaborasi dengan pihak pengurusan Pejabat Antarabangsa (IO), Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) dan FPTV, UTHM.
Penganjuran bengkel tersebut telah memberi manfaat dan impak yang besar kepada kedua-dua pihak.
UTHM-KOPO merancang untuk meneruskan hubungan dan kerjasama dua hala ini melalui tiga aktiviti utama iaitu khidmat teknikal komuniti antarabangsa, peningkatan kemahiran pentadbiran dan sosial antarabangsa dalam kalangan staf, dan pengembangan geran penyelidikan empat penjuru Malaysia-Thailand-China-Korea, serta penglibatan KOPO dalam pendidikan pensijilan TVET perguruan yang melibatkan beberapa agensi kerajaan, industri dan juga swasta.