BATU PAHAT – Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang merupakan Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini berkenan mengunjungi kampus induk sempena sambutan 30 tahun penubuhan universiti.
Kunjungan Tunku Canselor ke kampus melalui Program Kembara Canselor @ UTHM bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat kepimpinan tertinggi universiti serta merapatkan lagi hubungan dengan staf dan pelajar UTHM.
Dalam rangka lawatan tersebut, Tunku Canselor berkenan melawat pameran produk inovasi dan beramah mesra dengan para penyelidik universiti.
Tunku Canselor juga berkesempatan bertemu dengan sekumpulan pendaki wanita yang bakal menjayakan program ‘Wanita Kinabalu sempena sambutan 30 tahun UTHM’ serta berkenan melancarkan penubuhan sukarelawan UTHM iaitu Southern Volunteers UTHM Chapter.
Tunku Canselor turut merasmikan penubuhan Pejabat Yayasan UTHM yang berperanan sebagai sebuah badan yang bukan berorientasikan keuntungan tetapi terlibat dalam pengumpulan dan pengagihan dana bagi tujuan kebajikan.
Lawatan yang mengambil masa kira-kira dua jam itu memberi kesempatan kepada Tunku untuk bertemu dengan kumpulan kepimpinan pelajar dalam satu sesi santai yang diadakan di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, kampus induk.
Pada pertemuan tersebut, Tunku Canselor berkenan menyerahkan bantuan kepada golongan Asnaf Pelajar UTHM sebagai tanda prihatin.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih beliau di atas kesudian Tunku Canselor melawat kampus dan bertemu dengan warganya.
“Pertemuan ini sangat bermakna kepada universiti memandangkan ini kali pertama kunjungan rasmi Tunku setelah dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu pada 3 Disember 2022 lalu,” katanya.
Untuk rekod, UTHM menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-30 pada tahun ini.
Bermula dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), universiti ini dinaik taraf sebagai Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada 12 April 1996, diikuti dengan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (KUiTTHO) pada 30 September 2000 sehinggalah diumumkan sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 1 Februari 2007.
Seiring dengan pertambahan usianya, UTHM terus komited dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan menghasilkan graduan yang dapat memenuhi keperluan industri, komuniti dan negara.
UTHM juga komited dalam meneruskan usaha menjayakan misi dan visinya untuk menjadi universiti teknikal bertaraf global dan universiti teknousahawan menjelang tahun 2030.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Editor Malaysia (editormalaysia.com), 21 Jun 2023: Keberangkatan Tunku Mahkota Johor ke Program Kembara Canselor UTHM
2. China Press (Johor) (page: C10), 21 June 2023: Crown Prince riding scooter in UTHM
3. Sin Chew Daily (Johor) (page:3): Johor Crown Prince visits UTHM for exchange
4. Johor China Press (johor.chinapress.com.my), 20 June 2023: ???“???”??? ???????
5. Sin Chew Daily (www.sinchew.com.my), 20 June 2023: ?????????? ??????????
https://johor.sinchew.com.my/?p=4766923