BATU PAHAT – Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,Tunku Mahkota Johor dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu ketika berlangsungnya sidang pertama, Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 3 Disember 2022, bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Manakala Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,Tunku Temenggong Johor dan Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor pula dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

Tunku Canselor dalam titahnya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Pro Canselor yang baharu dilantik dan semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Baginda berpesan kepada graduan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi, selain mempunyai pegangan agama yang kukuh dan sahsiah diri yang terpuji bagi menghadapi alam pekerjaan yang semakin kompetitif.

Baginda turut menyokong usaha UTHM dalam memacu teknologi global, kemahiran keusahawanan dan pendigitalan TVET untuk pembangunan ekonomi dan kelestarian negeri Johor khususnya.

“Saya mendoakan UTHM terus menjadi sebuah universiti yang relevan, dinamik dalam melahirkan graduan, ke arah pemikiran kelas pertama serta modal insan yang berinovasi lagi bestari,” titah baginda.

Seramai 4484 orang graduan layak menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (128), sarjana (255), sarjana muda (3443) dan diploma (658).

Istiadat tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal kepada Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman, Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM (2018-2021) bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang akademik, pembangunan universiti dan penyelidikan serta modal insan.

Manakala Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Wahid Razzaly, mantan Naib Canselor UTHM (2017-2022) pula menerima Anugerah Profesor Emeritus bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutama dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Turut menerima anugerah dalam istiadat tersebut, penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Muhammad Faris Abdul Hadi, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Khoo Chun An, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi.

Manakala graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Hajar Shahirah Che Ariffin dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim.

Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen ini maka jumlah graduan UTHM sehingga tahun 2022 telah mencecah seramai 53 760 orang.

 

Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,Tunku Temenggong Johor dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

 

Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. hmetro.com, 3 Disember 2022: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/12/910961/tunku-ismail-dimasyhurkan-sebagai-canselor-uthm