Industri pembinaan yang sedang pesat membangun sememangnya mampu memberikan banyak manfaat kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, tapak pembinaan merupakan tempat yang kurang selamat dan merbahaya. Terdapat beberapa ancaman yang biasa berlaku di tapak bina seperti bahan binaan yang jatuh, kerosakan elektrik, peralatan merbahaya, keruntuhan perancah, kemalangan sesama pekerja, serta pergerakan lalu lintas yang tidak teratur di tapak bina. Industri pembinaan merupakan sektor yang semakin mencabar dengan aktiviti pembinaan yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya.
Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), statistik kemalangan pekerjaan bagi sektor pembinaan menunjukkan 51 bilangan kes kemalangan telah dicatatkan sehingga Mac 2022, dengan 16 bilangan maut. Ini menunjukkan situasi kemalangan di tapak bina amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan berkesan. Kemalangan pekerjaan di tapak bina memberi implikasi kepada masalah sosial serta ekonomi kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan fizikal. Ini kerana kesan daripada kemalangan di tapak bina akan menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi pekerja.
Selain itu, pengurusan keselamatan di tapak bina bukan sahaja untuk melindungi pekerja malah ianya juga untuk memastikan keselamatan orang awam terjamin. Ini adalah disebabkan tapak pembinaan kebiasaannya terletak di kawasan yang sibuk atau sesak yang menjadi tumpuan dan laluan orang ramai. Oleh itu, dengan adanya teknologi pengesanan kemalangan ianya akan dapat membantu memastikan keselamatan di tapak bina berjalan dengan baik.
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pekerja yang terlibat dalam pelbagai sektor di Malaysia terjamin. Pengurusan KKP pada era pendamik Covid-19 ini memerlukan transformasi kepada anjakan paradigma yang baharu melalui penggunaan teknologi berkaitan revolusi industri 4.0 (IR 4.0). Melalui Dasar 4IR Negara, ianya dapat memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi IR4.0 kepada semua industri termasuklah sektor pembinaan. Penggunaan teknologi IR 4.0 bagi pengesanan kemalangan berpotensi dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja. Teknologi IR 4.0 ini akan dapat mengurangkan ataupun menjangkakan kemalangan yang berlaku semasa kerja pembinaan dijalankan. Teknologi-teknologi IR 4.0 seperti Radio Frequency Identification (RFID), Virtual Reality (VR) dan Sensor adalah berpotensi dalam membantu pengesanan kemalangan dan seterusnya meningkatkan keselamatan di tapak bina.
Kemunculan teknologi pengesanan keselamatan ini sebenarnya telah berada di pasaran beberapa dekad yang lalu. Dengan adanya teknologi bagi mengesan keselamatan seperti teknologi RFID, VR dan Sensor, ia dapat membantu mengelakkan berlakunya kemalangan di tapak bina. Sebagi contoh, teknologi RFID yang menggunakan gelombang radio untuk menghantar isyarat secara terus mampu memberikan maklumat kemalangan pekerja sekiranya berlaku sesuatu bencana di tapak bina. Selain itu, teknologi sensor seperti Camera Imaging Range 3D dapat memberikan maklumat yang pantas dan ukuran yang tepat. Ianya juga dapat mengesan suhu, tekanan serta getaran, keamatan suara, keamatan cahaya, dan beban yang berat. Di samping itu, virtual reality dapat membantu pengguna menavigasi secara bebas dalam masa nyata dan berinteraksi dengan objek maya dalam persekitaran tiga dimensi.
Melalui penggunaan teknologi RFID, peralatan RFID seperti tag boleh dilekatkan pada alat keselamatan seperti Peralatan Pelindung Diri (PPE) bagi mengawal tingkah laku pekerja, mencatat kehadiran pekerja di lokasi, dan memeriksa sama ada mana-mana pekerja mengakses kawasan yang tidak dibenarkan. Virtual reality berfungsi sebagai peranti penjejakan bagi mengesan kemalangan yang akan berlaku dalam industri pembinaan. Tracker yang dipakai di atas kepala sesorang membolehkan pengguna melihat dunia maya secara semula jadi menggunakan gerakan kepala. Melalui teknologi Virtual reality ianya berpotensi bagi mengelakkan berlakunya kemalangan serta dapat melihat bangunan yang dibina secara 3D. Melalui teknologi Sensor pula ianya berpontensi untuk mengurangkan risiko kemalangan di tapak bina pada peringkat operasi melalui pengesanan sumber yang bergerak seperti mesin, pekerja atau bahan di ruang kerja.Teknologi-teknologi pengesanan lokasi seperti RFID, Ultra-Wideband (UWB) dan Sistem Kedudukan Global (GPS) boleh digunakan untuk mengesan atau menjangkakan kemalangan yang akan berlaku.
Industri pembinaan adalah merupakan salah satu sektor yang paling berbahaya kerana mencatatkan banyak kes kehilangan nyawa dan harta benda di setiap negara seluruh dunia. Justeru itu, penggunaan teknologi pengesanan kemalangan dalam industri pembinaan akan dapat memberikan kelebihan dari segi meningkatkan keselamatan di tapak bina. Hatta, dengan penggunaan teknologi pengesanan kemalangan ini juga ianya dapat membuat pengawalan masa nyata yang berkesan terhadap pekerja, memastikan peralatan pembinaan dapat berfungsi dengan baik, penggunaan bahan yang berkualiti, kaedah pembinaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, memastikan persekitaran kerja yang kondusif bagi pencegahan kemalangan di tapak bina.
Selain itu juga, teknologi pengesanan kemalangan dapat melakukan penyimpanan maklumat berkaitan kemalangan pekarja di tapak bina dengan menggunakan teknologi seperti RFID, Virtual Reality dan Sensor. Antara kelebihan yang lain, melalui teknologi berasaskan sensor ianya dapat mengesan penjejakan serta memantau lokasi bahan di tapak bina dan ini merupakan aspek penting bagi mengelak berlakunya kemalangan dan pemantauan pegerakan pekerja di tapak bina. Tambahan lagi, kelebihan teknologi pengesanan kemalangan di tapak bina adalah ianya dapat menjimatkan masa dalam kerja-kerja pengawalan pekerja.
Secara kesimpulannya, pihak-pihak yang terlibat dalam industri pembinaan hendaklah mengambil manfaat terhadap kelebihan penggunaan teknologi IR 4.0 serta saling bekerjasama agar dapat memastikan penggunaan teknologi pengesanan kemalangan bagi pengurusan keselamatan pekerja di tapak bina diperluaskan dan menyeluruh.
Berita ini juga telah diterbitkan di :
1. bernama.com, 15 September 2022 : https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2118324
Profesor Madya Ts. Dr. Narimah Kasim
Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Pengurusan Fasiliti (CeFM)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)