Oleh Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin

CAMERON HIGHLANDS – Penyelidik Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasioanal (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (THM) menyantuni Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan menjalani program Khidmat Masyarakat bersama Orang Asli Suku Kaum Semai di Tanah Rata, Cameron Highlands pada 25 November 2021 lalu.

Program yang telah dilaksanakan selama tiga hari melibatkan pelbagai aktiviti seperti perbincangan berkaitan kerangka model inkubator usahawan belia Orang Asli melalui latihan teknikal dan vokasional (TVET) ke arah pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli.

Semua penyelidik yang terlibat mendapat pengalaman berinteraksi bersama masyarakat Orang Asli dengan lebih dekat tetapi masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Ketua Penyelidik, Ts. Dr Hasril Amiruddin program ini merupakan amanah yang perlu dilaksanakan selaras dengan keperluan dalam Geran Vot K044 yang ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), yang menuntut penyelidik menyantuni Orang Asli bagi tujuan mengenal pasti perkara yang boleh dibantu oleh universiti dalam melestarikan pembangunan penduduk suku Kaum Semai di Tanah Rata.

“Perbincangan yang dibuat bersama Penolong Pengawai Pembangunan Masyarakat, Penolong Pegawai Pertanian dan Pembantu Pembangunan Masyarakat, JAKOA Tanah Rata, Cameron Highlands sangat membantu sejajar dengan objektif program iaitu memperolehi maklumat dan pengesahan akhir kerangka model inkubator usahawan belia Orang Asli melalui TVET ke arah pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli,” ujar beliau lagi.

Rentetan dari kajian yang telah dijalankan, banyak maklumat yang diberikan oleh pihak JAKOA Tanah Rata berkaitan dengan aktiviti usahawan belia Orang Asli.

“Hakikatnya, Orang Asli bukan golongan terpinggir kerana mereka adalah masyarakat eksklusif yang berpegang teguh kepada budaya, adat dan kepercayaan untuk diturunkan kepada generasi yang akan datang.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Tanah Rata, Cameron Highlands sebagai entiti yang memastikan masyarakat Orang Asli terus membangun dan maju,” tambah beliau.

Sehubungan ini, JAKOA Tanah Rata sedang berusaha menggalakkan masyarakat Orang Asli mewujudkan inap desa di kampung masing-masing kerana mereka mempunyai budaya yang unik untuk diketengahkan sekali gus sebagai tarikan kepada sektor pelancongan negara.

JAKOA Tanah Rata yakin sekiranya orang ramai terus mengadakan program kemasyarakatan sambil melancong di perkampungan Orang Asli, ia sekali gus dapat memberi kesan positif dari segi pembangunan ekonomi.