JEPUN – Enam pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah apabila berjaya meraih tempat pertama bagi kategori @Home Education (Online) dan Best Poster Award ketika menyertai RoboCup Asia-Pacific 2021, Aichi Japan anjuran Robocup Asia-Pacific Confederation, Japan pada 29 November 2021 lalu.
Kumpulan pelajar yang terdiri daripada Muhammad Amirul Amri Adam, Muhamad Faizul Akmal Hamdan, Siti Nurlina Noor Azmi, Zubair Adil Soomro, Muhammad Zulfauzan Fahmi Che Alias dan Nur Nazifa Mod Arsad mempertaruhkan robot mereka yang dikenali sebagai LinaBot.
Mereka diselia oleh Dr. Abu Ubaidah Shamsudin selaku penyelia utama, Hazwaj Mhd Poad, Dr. Herdawatie Abdul Kadir dan dibantu oleh Rosley Sawarno serta Pusat Pembangunan Pelajar, UTHM.
Menurut Dr. Abu Ubaidah LinaBot merupakan robot servis untuk pusat pemberian vaksin (PPV) yang mampu berinteraksi pelbagai bahasa untuk kanak-kanak dan orang tua yang kurang fasih berbahasa Inggeris menggunakan dua langkah operasi.
“Langkah pertama menggunakan paparan kamera robot akan mengenal pasti budaya seseorang berdasarkan pakaian tradisional, manakala langkah kedua akan memilih sistem dialog yang bersesuaian contohnya seperti bahasa melayu atau mandarin.
“Di PPV juga terdapat juga orang bisu yang tidak dapat berinteraksi dengan robot, makanya satu sistem AI yang dapat memahami Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) telah dicipta.
“Ia dapat memudahkan komunikasi antara orang bisu dengan robot melalui isyarat tangan,” katanya.
Pasukan ini turut bekerjasama dengan Dr. Jeffrey Tan dari LATTEL SDN BHD dan Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) di bawah nama KameRider (Malaysia).
Tambah Dr. Abu Ubaidah, dengan reka bentuk LinaBot yang menarik serta mesra pengguna, ia berupaya menarik minat orang ramai untuk berinteraksi dengan lebih selesa.
Sementara itu Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Rosli Omar turut merakamkan ucapan tahniah beliau kepada pasukan ini.
“Saya berharap kejayaan pasukan ini mampu memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk turut menyahut cabaran bagi mencuba perkara baharu, sentiasa melihat ke hadapan dan juga berusaha mengharumkan nama universiti,” katanya.
Pertandingan ini bukan sekadar satu pertandingan, ianya juga merupakan platform bagi pelajar untuk belajar kemahiran baru dengan teknologi IR 4.0 dan mewujudkan jaringan kerjasama bersama industri dan universiti luar.
Pasukan ini juga bakal bertanding di Robocup Bangkok 2022. Tonton hasil reka cipta mereka untuk Robocup 2022 di pautan berikut https://www.youtube.com/watch?v=vTQYDwGt2w4