Oleh Muhammad Hidayat Zianolabidin

MANJUNG, PERAK 14 Februari 2026 (Sabtu) – Sekretariat Mahasiswa Anak Perak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (SEMARAK UTHM) terus memperkukuh jaringan kolaborasi strategik bersama Majlis Perbandaran Manjung melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan kawasan Pantai Pasir Bogak.

Program itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan kebersihan kawasan pesisir pantai di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa serta komuniti setempat

Seramai 19 peserta terdiri daripada 11 mahasiswa serta lapan staf daripada Majlis Perbandaran Manjung dari Jabatan Kesihatan Awam, Jabatan Pembersihan dan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Landskap serta Bahagian Penguatkuasaan telah terlibat dalam menjayakan program itu.

Program dimulakan dengan taklimat kesedaran berkaitan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar yang disampaikan oleh Pembantu Kesihatan Awam, Khairuddin Khalid.

Beliau dalam taklimatnya berkata sisa pepejal perlu diuruskan secara sistematik bagi mengurangkan impak pencemaran terhadap ekosistem marin, selain pentingnya peranan komuniti dalam memastikan kawasan rekreasi awam berada dalam keadaan bersih dan selamat.

“Program ini diharap berjaya meningkatkan tahap kebersihan kawasan pantai dan dapat diteruskan secara berkala bagi memelihara kelestarian alam sekitar dan memastikan Pantai Pasir Bogak kekal bersih serta selamat untuk dinikmati oleh masyarakat dan pelancong,” tambah beliau.

Keseluruhan sisa yang dikumpulkan telah diasingkan mengikut kategori untuk tujuan pelupusan dan kitar semula oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung.