SIMPANG RENGGAM – Kira-kira 50 belia, guru dan waris daripada pelbagai kaum di Simpang Renggam, Johor telah menyertai ‘Program Kepimpinan dan Kemahiran Digital ke Arah Kebolehpasaran Belia’ anjuran Kumpulan Penyelidik ACTiVE, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Penganjuran program yang memasuki tahun keenam itu diketuai oleh Ketua Pusat Penyelidikan ACTiVE, Profesor Madya Dr. Nor Lisa Sulaiman bersama pasukan penyelidiknya iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Kahirol Mohd Salleh, Profesor Madya Dr. Wan Hanim Nadrah Wan Muda, Ts. Dr. Zurina Yasak dan Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim.

Mereka dibantu oleh 11 fasilitator dalam kalangan pelajar sarjana dan doktor pendidikan FPTV bagi menjayakan aktiviti yang berlangsung di Sekolah Menengah Islam As-Syddiq, Simpang Renggam pada 14 Februari 2026 lalu.

Program itu direka khusus untuk belia berumur 15 hingga 30 tahun, dengan modul yang memberi impak langsung kepada kebolehpasaran dan keyakinan diri peserta.

Modul program merangkumi ujian personaliti, kemahiran transversal, analisis SWOT, pembinaan Google Docs dan Google Forms, penjanaan kod QR, penggunaan Zoom dan Google Meet, serta pembangunan e-resume profesional menggunakan Canva.

Menurut Dr. Nor Lisa, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti belia, selaras dengan dasar digital inklusif kerajaan dan sokongan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam memperkasa pendidikan berkualiti dan meningkatkan literasi digital belia Malaysia.

“Selain memperkukuh kemahiran digital, program ini menjadi platform strategik bagi merapatkan hubungan UTHM dengan komuniti setempat.

“Pada tahun ini, ACTiVE turut menjalin kerjasama dengan komuniti Kampung Ulu Benut, Koperasi Montamah Paiman, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Sekolah Menengah Islam As-Syddiq, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) dan Persatuan Pelajar Pascasiswazah KEPSIS, UTHM bagi menjayakan inisiatif tersebut,” tambah beliau.