Pembangunan setempat sering ditampilkan sebagai pemangkin kemajuan ekonomi, peningkatan infrastruktur dan pemodenan masyarakat. Namun demikian, di sebalik manfaat yang dijanjikan, aktiviti pembangunan dan pembinaan juga berpotensi mencetuskan konflik sosial, kemerosotan kualiti hidup serta ketidakadilan persekitaran sekiranya hak dan suara komuniti setempat tidak diambil kira secara bermakna.

Dalam konteks pembangunan lestari, penglibatan komuniti bukan sekadar pelengkap, malah merupakan elemen asas yang menentukan sama ada sesuatu projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya.

Secara prinsipnya, hak komuniti merangkumi hak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat, selamat dan bermaruah, serta hak untuk terlibat dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

Suara komuniti pula merujuk kepada ruang dan mekanisme yang membolehkan penduduk setempat menyuarakan pandangan, kebimbangan dan keperluan mereka sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Apabila elemen ini diketepikan, pembangunan mudah bertukar menjadi punca ketegangan dan penentangan masyarakat.

Di Malaysia, terdapat pelbagai contoh pembangunan yang mencetuskan kebimbangan dan ketidakpuasan hati komuniti akibat kurangnya penglibatan dan rundingan di peringkat awal. Sebagai contoh isu penempatan tapak pelupusan sisa pepejal dan loji rawatan kumbahan, misalnya, sering menimbulkan kebimbangan berkaitan isu pencemaran air, bau busuk serta risiko kesihatan awam. Dalam beberapa kes, penduduk hanya dimaklumkan selepas keputusan dibuat, tanpa diberi peluang untuk menyuarakan pandangan atau mencadangkan alternatif yang lebih sesuai.

Selain itu, pembangunan projek infra berskala besar seperti lebuh raya, landasan kereta api dan empangan turut memperlihatkan cabaran yang sama. Pembinaan projek-projek ini kadangkala melibatkan pengambilan tanah, pemindahan penduduk, dan perubahan drastik terhadap landskap setempat. Bagi komuniti luar bandar, nelayan dan petani, pembangunan sebegini boleh menjejaskan sumber rezeki, hubungan sosial serta warisan budaya yang telah lama terbina. Tanpa proses konsultasi yang aktif, telus dan inklusif, komuniti merasa diri mereka dipinggirkan  dan kehilangan kecewa kepada  pihak berkuasa.

Selain itu, isu penempatan industri penternakan berskala besar, berteknologi dan  intensif sebagai contoh penternakan khinzir, ayam dan lembu, turut memperlihatkan konflik antara kepentingan ekonomi dan kesejahteraan komuniti. Aduan berkaitan pencemaran sungai, bau, pembiakan lalat serta risiko penyakit zoonotik sering dibangkitkan oleh penduduk berhampiran kawasan ternakan. Keadaan seperti  ini meningkatkan kerapuhan dan risiko keselamatan awam. Kesejahteraan hidup masyarakat adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. Walaupun industri ini penting untuk keselamatan makanan negara, kegagalan melibatkan komuniti secara serius dalam pemilihan lokasi dan kawalan operasi telah menimbulkan persepsi bahawa keuntungan industri diutamakan berbanding kualiti hidup rakyat.

Kelemahan dalam konteks penglibatan dan mengambil kira suara komuniti ini menunjukkan bahawa pembangunan tidak boleh dinilai semata-mata dari sudut pulangan ekonomi mikro atau makro. Sebaliknya, ia perlu diseimbangkan secara menyeluruh dari aspek sosial, kesihatan awam, alam sekitar serta sensitiviti budaya dan agama. Keseimbangan ini penting sebagaimana menepati elemen pembangunan mampan, seperti yang diwar-warkan dalam asas Dasar Alam Sekitar Negara (DASN).

Tanpa keseimbangan ini, pembangunan berisiko mewujudkan ketidakadilan persekitaran, yang mana beban pencemaran dan risiko ditanggung oleh komuniti setempat, manakala manfaat dinikmati oleh pihak lain.

Sebagai perbandingan, beberapa negara telah menunjukkan pendekatan yang lebih inklusif dalam merancang pembangunan setempat. Di United Kingdom misalnya, sistem perancangan tempatan mewajibkan sesi pendengaran awam dan proses bantahan rasmi sebelum sesuatu projek diluluskan. Pandangan komuniti direkodkan dan dipertimbangkan dalam keputusan akhir, termasuk kemungkinan penolakan projek sekiranya impaknya terhadap kesejahteraan rakyat didapati terlalu besar. Pendekatan ini memperlihatkan pengiktirafan terhadap hak komuniti sebagai pihak berkepentingan utama.

Di negara-negara Scandinavia pula, konsep participatory planning diamalkan secara meluas, yang mana komuniti dilibatkan sejak peringkat awal perancangan. Penduduk bukan sahaja diberi ruang bersuara, malah turut menjadi sebahagian daripada jawatankuasa perancangan tempatan. Model ini membantu mengurangkan konflik, meningkatkan rasa memiliki dalam kalangan komuniti, dan menghasilkan pembangunan yang lebih serasi dengan keperluan setempat.

Kesimpulannya, penglibatan komuniti yang merangkumi  hak dan suara komuniti di peringkat akar umbi dalam aktiviti pembangunan dan pembinaan setempat merupakan prasyarat kepada pembangunan yang adil, inklusif dan lestari. Pengalaman menunjukan  bahawa kegagalan melibatkan komuniti bukan sahaja mencetuskan penentangan sosial, malah boleh menjejaskan kejayaan jangka panjang sesuatu projek. Oleh itu, pembangunan yang benar-benar progresif bukanlah pembangunan yang paling pantas atau paling menguntungkan, tetapi pembangunan yang mendengar, menghormati dan mengutama serta melindungi hak-hak komuniti demi kesejahteraan dan kelangsungan rakyat secara saksama.

 

Profesor Madya Dr. Haryati bt Shafii

Penyelidik Utama Pusat  Pembangunan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar,

Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar

Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Prngurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)

Universiti Tun Husssein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di :

1. Berita Harian (muka surat: 21), 21 Februari 2026: Pembangunan adil, inklusif dan lestari perlu dengar suara komuniti

 

2. Berita Harian (www.bharian.com.my), 21 Februari 2026: Pembangunan adil, inklusif dan lestari perlu dengar suara komuniti 

https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20260221/281698326214011

 

3. Utusan Malaysia (muka surat: 26), 5 Mac 2026: Tidak adil pembangunan tanpa suara rakyat 

 

4. Utusan (utusan.com.my), 5 Mac 2026: Tidak adil pembangunan tanpa suara rakyat 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/03/tidak-adil-pembangunan-tanpa-suara-rakyat/