Peti sejuk seringkali dianggap peralatan rumah yang biasa. Namun tanpa kita sedar, ia sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam menentukan corak pemakanan dan gaya hidup harian kita. Peti sejuk yang teratur, bersih dan diisi dengan pilihan makanan sihat mampu menjadi “pengawal senyap” yang membantu kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Dalam dunia yang penuh dengan godaan makanan segera dan snek tidak sihat, penyediaan peti sejuk sihat merupakan satu langkah proaktif ke arah pilihan gaya hidup yang lebih baik.

Apa yang dimaksudkan dengan peti sejuk sihat? Konsep “Peti Sejuk Sihat” ini merujuk kepada kandungan dan susun atur dalam peti sejuk yang menyokong amalan pemakanan seimbang. Ia dipenuhi dengan bahan-bahan yang berkhasiat, segar dan lengkap. Pastikan ada pelbagai jenis buah-buahan segar, sayur-sayuran serta sumber protein seperti ikan, ayam, telur, susu dan makanan tinggi serat seperti kekacang dan bijirin penuh. Minuman sihat seperti air kosong, susu atau jus buah-buahan tanpa gula juga menjadi pilihan utama berbanding minuman berkarbonat dan manis.

Mewujudkan peti sejuk sihat bermula dengan senarai beli-belah yang bijak. Utamakan keperluan makanan sihat dalam senarai tersebut. Dengan cara ini, kita dapat menjimatkan masa dan wang. Selain itu, biasakan diri membaca dan merujuk maklumat pemakanan pada label. Ini membolehkan kita mengetahui ramuan, kandungan nutrien dan akuan pemakanan bagi makanan yang dipilih. Ia juga merupakan salah satu cara bagi kita mendapatkan berat badan yang ideal. Apabila pilihan makanan sihat sentiasa ada, kita akan kurang mengambil makanan ringan yang tinggi gula, garam dan lemak tepu. Malah, ianya mampu menyokong amalan pemakanan berjadual kerana kecenderungan kita merancang hidangan harian apabila kita tahu apa yang ada di dalam peti sejuk. Peti sejuk sihat juga boleh memberi pengaruh kepada kesihatan mental. Pemakanan yang seimbang seringkali dikaitkan dengan kestabilan emosi dan kecerdasan minda. Peti sejuk yang sihat ini membantu memastikan kita mendapat nutrien penting seperti vitamin B, magnesium, omega-3 dan zat besi yang penting untuk fungsi otak dan kestabilan mood.

Seterusnya, adalah penting untuk kita lakukan pembersihan peti sejuk secara berkala. Singkirkan makanan yang telah tamat tempoh atau yang tidak lagi sesuai untuk dimakan. Susun atur makanan seperti buah-buahan dan bijiran perlu diletakkan di bahagian hadapan iaitu pada paras mata supaya mudah dicapai. Kajian psikologi menunjukkan bahawa kita cenderung mengambil apa yang kita nampak dahulu. Maka, dengan menyusun makanan sihat di bahagian hadapan dan strategik, membolehkan kita mengawal keinginan untuk memilih makanan yang kurang berkhasiat.

Kesimpulannya, peti sejuk bukan sekadar ruang penyimpanan namun ia adalah pantulan pilihan harian kita selain mencerminkan komitmen kita terhadap penjagaan diri dan keluarga. Dengan merancang dan menyusun “isi” dengan bijak, kita bukan sahaja dapat mengawal tabiat pemakanan malah membentuk gaya hidup yang lebih cergas dan sihat.

Secara tidak langsung, kita juga berjaya menjadi “Chef Sihat” untuk diri dan keluarga. Fokus pada perubahan kecil secara beransur-ansur untuk mewujudkan persekitaran hidup yang lebih sihat. Jadikan peti sejuk kita sebagai ladang kesihatan yang dipenuhi dengan nutrisi, teratur dan menyokong kehidupan yang seimbang. Perubahan kecil ini mampu memberi impak besar terhadap kesihatan kita.

 

Farhawahidah binti Ahmad Puad,

Pegawai Belia dan Sukan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)