Dalam tradisi pendidikan negara, sekolah berasrama penuh sering dilihat sebagai medan pembentukan generasi cemerlang. Ia menjanjikan suasana pembelajaran yang lebih fokus, peluang akademik yang meluas, serta pembinaan disiplin dan kemahiran hidup yang jarang diperoleh di sekolah harian biasa. Namun, realiti hari ini semakin mencabar imej tersebut. Laporan demi laporan tentang insiden buli di asrama termasuk tragedi menyayat hati seperti kes Zara Qairina Mahathir di Sabah telah menimbulkan gelombang kebimbangan. Soalan besar kini berlegar di fikiran ibu bapa, “Adakah anak saya benar-benar selamat di asrama?” Lebih membimbangkan, wujud pula fahaman songsang dalam kalangan pelajar bahawa buli boleh dibalas dengan keganasan konsep “Kau pukul aku, aku pukul kau balik.” Pemikiran ini bukan sahaja menghalalkan keganasan, malah mencipta kitaran dendam yang tidak berkesudahan. Sikap ini perlu dihentikan segera melalui pendidikan nilai, penerapan empati dan penguatkuasaan disiplin secara tegas tetapi berhemah.
Budaya buli wujud disebabkan oleh gabungan faktor individu, persekitaran dan pengaruh sosial. Dari sudut individu, ada pelaku yang membuli kerana mahu menunjukkan kuasa, melepaskan tekanan atau mengatasi rasa rendah diri dengan cara menindas orang lain. Dari segi persekitaran, suasana sekolah atau tempat kerja yang kurang kawalan disiplin, tidak tegas dalam menangani kes buli, serta sikap membiarkan tanpa tindakan tegas mendorong budaya ini terus berkembang. Pengaruh rakan sebaya dan media juga memainkan peranan apabila remaja meniru tingkah laku agresif yang dilihat di media sosial, drama atau permainan video tanpa bimbingan yang betul. Lebih membimbangkan, ada yang melihat buli sebagai sesuatu yang ‘normal’ atau sebahagian daripada budaya ‘kena dulu baru tahu,’ yang akhirnya menjadikan ia kitaran berulang dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Bagi sesetengah keluarga, kebimbangan ini bukan sekadar bersifat emosi, tetapi berasaskan pemerhatian dan pengalaman langsung. Ada anak yang pulang setiap hujung minggu dalam keadaan murung, prestasi akademik merosot atau menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara. Lebih membimbangkan wujudnya budaya ‘diam itu selamat’ dalam kalangan pelajar, yang mana mangsa atau saksi memilih untuk tidak melapor kerana bimbang dikenakan tindakan balas atau dipinggirkan oleh rakan sebaya. Situasi ini membentuk jurang keyakinan yang semakin melebar antara ibu bapa dan pihak sekolah.
Dalam menangani keadaan ini, ibu bapa perlu menjadi pelindung pertama kepada anak-anak. Komunikasi terbuka di rumah mesti menjadi rutin, bukan sekadar formaliti. Anak-anak harus dibiasakan untuk meluahkan rasa takut, tekanan atau pengalaman tidak selesa tanpa rasa bersalah atau takut dimarahi. Ibu bapa juga perlu proaktif mengenal pasti tanda-tanda awal buli sama ada dalam bentuk kecederaan fizikal yang sukar dijelaskan, perubahan emosi yang drastik, atau pengasingan diri yang tiba-tiba. Menunggu sehingga anak sendiri menceritakan pengalaman pahit mungkin sudah terlambat.
Sekolah tidak boleh hanya bertindak selepas isu menjadi tular di media sosial. Mereka perlu menjadi benteng perlindungan utama, bukannya punca trauma baharu kepada pelajar. Standard operasi (SOP) menangani aduan buli mesti jelas, tegas dan dilaksanakan tanpa sebarang kompromi. Warden, guru dan semua staf asrama perlu diberikan latihan pengurusan krisis secara berterusan, menjadikannya budaya kerja, bukan sekadar program sementara. Peranan kaunselor sekolah juga tidak boleh dipandang remeh. Mereka harus proaktif mendekati pelajar, mengesan tanda-tanda awal buli, dan menyediakan sokongan emosi serta intervensi awal sebelum masalah menjadi parah. Saluran aduan sulit mesti benar-benar berfungsi, diurus secara profesional dan memberi jaminan keselamatan kepada pelapor. Hanya dengan meyakinkan pelajar bahawa suara mereka akan diambil serius, barulah kita mampu memutuskan kitaran budaya buli yang membarah.
Kerajaan, sebagai penggubal dasar dan pengawal selia, tidak boleh memandang isu ini sebagai kes terpencil. Undang-undang anti-buli yang jelas dan berkuasa mesti diwujudkan, memastikan setiap kes diurus dengan telus dan adil tanpa mengira status pelaku. Audit keselamatan sekolah berasrama perlu dilakukan secara berkala, dan penempatan warden profesional sepenuh masa wajar dipertimbangkan supaya pemantauan tidak hanya dibebankan kepada guru.
Semua pihak daripada kementerian, pentadbir sekolah, ibu bapa, sehinggalah masyarakat umum mesti memandang serius krisis keyakinan ini. Ia adalah amaran bahawa integriti institusi pendidikan sedang dipersoalkan. Jika budaya buli terus berleluasa tanpa tindakan yang serius dan telus, sekolah berasrama penuh berisiko kehilangan daya tarikannya. Ibu bapa mungkin tidak lagi sanggup menghantar anak-anak cemerlang ke asrama, sekali gus menjejaskan matlamat asal penubuhan institusi tersebut. Perubahan mesti berlaku sekarang, sebelum kita kehilangan bukan sahaja kepercayaan ibu bapa, tetapi juga generasi pelajar pintar yang sepatutnya menjadi pemimpin masa depan.

Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 16 Ogos 2025: Isu buli gugat keyakinan ibu bapa terhadap sekolah berasrama
Isu buli gugat keyakinan ibu bapa terhadap sekolah berasrama
