Dalam landskap pendidikan tinggi yang kian mencabar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil langkah proaktif melalui inisiatif UTHM Prihatin. UTHM Prihatin merupakan salah satu fokus universiti ini yang diaspirasikan sejak tahun 2021 bagi menjayakan fungsi Pengupayaan Pelajar dan Keterlibatan Komuniti. Inisiatif ini adalah manifestasi komitmen UTHM dalam memperkukuh tanggungjawab sosial universiti terhadap komuniti, khususnya warga kampus dan masyarakat setempat. Ia menggabungkan nilai keinsanan, kebajikan dan pemerkasaan komuniti demi melahirkan warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan jiwa kemanusiaan.

Melalui pelbagai program kebajikan, bantuan kewangan, sokongan emosi dan aktiviti kesukarelawanan, UTHM Prihatin menjadi wadah penting dalam menyantuni keperluan pelajar kurang berkemampuan serta golongan terjejas. Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berintegriti dan berjiwa rakyat, sambil memperkukuh hubungan erat antara universiti dan masyarakat, sejajar dengan agenda universiti sebagai institusi rahmah dan penyayang.

Menurut YB Dato’ Haji Nooh Gadot, Ahli Lembaga Pengarah UTHM yang juga Pengerusi Jawatankuasa UTHM Prihatin, konsep “prihatin” itu sendiri membawa makna cakna, peduli dan ambil berat terhadap kesejahteraan pelbagai pihak, khususnya pelajar, staf, komuniti serta alam sekitar. UTHM Prihatin bukan sekadar slogan; ia merupakan manifestasi Maqasid Syariah dalam konteks pengurusan institusi pendidikan moden.

 

Lima teras UTHM Prihatin berasaskan Maqasid Syariah

Dato’ Nooh menjelaskan bahawa UTHM Prihatin berteraskan lima pemeliharaan utama:

  1. Agama – Memperkukuh paradigma tauhid, pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan akhlak mulia dalam kehidupan kampus.
  2. Nyawa – Menjaga kesihatan fizikal dan mental pelajar serta komuniti kampus secara holistik.
  3. Ilmu dan Pendidikan – Menawarkan pendidikan seimbang duniawi dan ukhrawi untuk membentuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
  4. Ekonomi – Melahirkan graduan berilmu yang mampu berdikari tanpa bergantung pada kekayaan warisan.
  5. Keluarga dan Maruah Insan – Melahirkan insan cemerlang di peringkat tempatan hingga ke peringkat antarabangsa.

 

Tindak balas proaktif terhadap cabaran ekonomi

Pelaksanaan cukai baharu seperti SST pada Julai 2025 telah memberi impak kepada kos sara hidup pelajar. Menyedari hakikat ini, UTHM melalui pusat-pusat tanggungjawab yang berkaitan terus memperkasakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada pelajar.

Antara inisiatifnya termasuk:

  • Dana Ihsan dan Sabil al-Hikmah yang diuruskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar
  • Gerobok Rezeki yang diuruskan oleh Pejabat Wakaf dan Endowmen
  • Bantuan Zakat Pelajar, Nasi Bajet dan Almari Pakaian @UTHM Prihatin yang diuruskan oleh Pusat Islam
  • Peluang pekerjaan sambilan dan Biasiswa pendidikan untuk pelajar yang layak.

Dato’ Nooh mengingatkan bahawa pendidikan tidak boleh dikompromi, dan setiap pelajar harus berusaha keras kerana ilmu adalah jalan keluar dari kesusahan hidup. Yayasan universiti juga menyasarkan bantuan kepada komuniti luar Johor, yang membuktikan bahawa keprihatinan tidak mengenal sempadan.

 

Keprihatinan sebagai asas universiti berwibawa

Dalam membina universiti yang berwibawa, Dato’ Nooh menekankan pentingnya melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki nilai kepimpinan, integriti dan kebolehpercayaan. Beliau memuji langkah UTHM menghantar staf atau pelajar ke luar negara seperti Jepun, Rusia dan seumpamanya sebagai contoh keterbukaan menimba ilmu daripada budaya asing yang kaya dengan disiplin dan etika kerja.

Kejayaan sesebuah universiti, katanya, bukan ditentukan oleh kuantiti semata-mata, tetapi kualiti lulusannya. Beliau menegaskan kepentingan konsep hijrah sebagai prinsip transformasi: dari sikap negatif kepada nilai positif; dari kebergantungan kepada keupayaan kendiri; dari perpecahan kepada perpaduan.

 

Nilai-nilai asas keprihatinan berkekalan

UTHM Prihatin perlu berpaksikan nilai-nilai utama UTHM, iaitu Amanah, Profesional dan Inovatif, agar impaknya berpanjangan. Menurut Dato’ Nooh, nilai kepercayaan adalah tonggak keberkesanan sesuatu inisiatif. Kejujuran, amanah dan niat yang ikhlas kerana Allah menjadi asas segala tindakan, lebih-lebih lagi dalam konteks membina negara dan ummah yang berdaya saing. Beliau turut menyatakan bahawa perubahan mestilah dibina atas dasar integriti diri, bukan semata-mata untuk kepentingan jangka pendek.

 

Pesanan untuk warga UTHM

Menutup perbualan, Dato’ Nooh menitipkan pesanan menyentuh hati kepada seluruh warga UTHM. Antaranya peringatan agar sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan kedua-dua ibu bapa. Keberkatan hidup, katanya, terletak pada keredaan ibu bapa. Pelajar harus sentiasa mengingati harapan keluarga, dan menjadikan mereka sebagai sumber kekuatan dalam menempuh cabaran hidup di universiti.

Beliau juga mengajak semua warga kampus menghayati konsep Ihsan, iaitu melakukan segala amalan seolah-olah melihat Allah dan jika tidak mampu melihat-Nya, yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat kita.

 

Inisiatif UTHM Prihatin bukan hanya sekadar program kebajikan, tetapi satu gerakan nilai yang menuntut pelaksanaan, keikhlasan dan tindakan kolektif seluruh warga universiti. Seperti kata Dato’ Nooh: “UTHM Prihatin dan pelajar — berpisah tiada.” Dengan semangat ini, UTHM terus melangkah gagah sebagai institusi yang bukan sahaja mengajar ilmu, tetapi membina insan dan menyubur kasih sayang sesama manusia.

Siti Afifah Che Ismail

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan

Bahagian Perancangan & Pengurusan Sumber

Perpustakaan Tunku Tun Aminah

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)