
Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 29 Mei 2025 – Menyedari kepentingan pendigitalan TVET dalam memacu transformasi ekonomi negara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Digital TVET Transformation Summit 2025 (DOTS’25) bagi memeriahkan lagi sambutan Hari TVET Negara 2025 yang jatuh pada 2 Jun setiap tahun.
Sebagai sebuah universiti peneraju bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), UTHM menjadikan tahun 2025 sebagai tahun pelaksanaan transformasi TVET Digital secara menyeluruh.
Penganjuran DOTS’25 pada 28 dan 29 Mei menjadi pemangkin dalam meningkatkan keterlihatan jenama UTHM selaku peneraju institusi TVET Digital negara, selain memainkan peranan penting dalam menyokong serta menjayakan matlamat PPPTM 2026-2035.
Menurut penyelaras program, Profesor Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad, yang juga Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, penganjuran DOTS’25 berperanan untuk mempromosi dan menyebar luas inisiatif transformasi bidang TVET dalam konteks digital.
Program itu menjadi satu platform yang menghimpunkan inovator, pendidik, penggubal dasar dan peneraju industri bagi membincangkan peranan dan hala tuju TVET digital dalam usaha membangunkan ekonomi negara.
“Program DOTS’25 ini juga merupakan inisiatif untuk mempersiapsiagakan graduan dalam bidang TVET agar bersifat kalis masa hadapan selain mampu beradaptasi, melalui agenda pendigitalan pengajaran dan pembelajarannya.
“Selain itu, penganjuran DOTS’25 juga adalah salah satu usaha dalam menjadikan UTHM sebagai pusat rujukan atau Hub TVET Digital bagi pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Usaha-usaha seumpama ini diharap dapat memberi impak yang besar dan signifikan dalam membuka minda dan memupuk minat masyarakat mengenai kepentingan TVET digital,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perasmian DOTS’25 yang diadakan di Impiana Hotel KLCC pada 28 Mei telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.
Perasmian DOTS’25 di Kuala Lumpur itu bersempena penganjuran program ‘Bridging Innovation and Learning in TVET’ (BILT) bagi tahun 2025 oleh UNESCO International Centre for Technical and Vocational Education and Training (UNESCO-UNEVOC).
UTHM pada tahun ini diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada program BILT bagi menyediakan platform perbincangan dan perkongsian idea berkaitan amalan terbaik dalam TVET, khususnya di Eropah, Afrika dan rantau Asia-Pasifik.
Untk rekod, penganjuran BILT saban tahun bertujuan membantu institusi TVET menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, alam sekitar dan sosial.
Antara acara utama yang dilaksanakan adalah Forum Transformasi TVET Digital Global dan Sesi Peluncuran China-ASEAN TVET Digital Capacity Building Centre.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik bertemakan TVET turut diadakan di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), UTHM kampus induk pada 28 dan 29 Mei 2025 seperti pameran kerjaya, pameran industri, pameran akademik dan eksplorasi TVET.
Lebih 3000 pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah, industri dan masyarakat setempat hadir memeriahkan setiap acara yang dianjurkan, sekali gus melengkapkan lagi misi universiti dalam merapatkan hubungan dengan komuniti.
Majlis Perasmian Penutup DOTS’25 yang berlangsung di DSI telah disempurnakan oleh ADUN Kawasan Parit Raja, YB Nor Rashidah Ramli selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.




