Pembentangan Belanjawan 2025 dengan tema ‘Memugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Menyejahterakan Rakyat’ pada 18 Oktober 2024 lalu dimulakan dengan Firman Allah dalam Surah Al- Baqarah, ayat 22 yang bermaksud “Dia yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi mu, dan langit sebagai binaan, dan menurunkan air dari langit, lalu dengannya dikeluarkan beraneka buah-buahan sebagai rezeki buat mu. Maka janganlah kamu menjadikan sesuatu sebagai sekutu bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui. Ia sekali gus menggambarkan bahawa tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan perancangan maka negara tidak akan mampu meraih manfaat yang sebenar-benarnya daripada bumi yang bertuah ini.

Dalam usaha Belanjawan 2025 untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar serta memberi makna kepada ekonomi MADANI – nampaknya usaha-usaha berkaitan dengan peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak dipinggirkan.

Lebih penting lagi ialah usaha mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan sebagai wadah pembangunan budaya, nilai dan jati diri negara bagi memberi manfaat rakyat terbanyak. Ia secara tidak langsung selari dengan penekanan Perdana Menteri Malaysia sejak memperkenalkan konsep “Gelombang Asia Timur” (walaupun banyak merujuk kepada potensi eokonomi) dan kebangkitan pesat negara-negara ASEAN khususnya dalam pelbagai bidang.

Penekanan ini tampak diusahakan daripada dua Ikhtiar yang digariskan iaitu Ikhtiar ke 39 berkaitan “Pendidikan Tinggi” dan Ikhtiar 57 berkaitan “Bahasa dan Karya Kreatif”.

Secara jelas pada Ikhtiar ke 39 – falsafah pendidikan tinggi perlu terus diperkasakan dengan strategi lanjutan iaitu peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia penting kerana usaha ini sangat berkait rapat dengan identiti, perkembangan intelektual dan kemajuan sesebuah negara mengikut acuan sendiri. Bahasa Melayu di Malaysia sepatutnya bukan sekadar berfungsi sebagai bahasa komunikasi harian tetapi juga sebagai medium penyampaian ilmu tinggi.

Sesungguhnya peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu membolehkan ilmu pengetahuan dihasil, dikembang dan didokumentasi dalam bahasa sendiri. Ia memerlukan satu tata kelola teratur dan jiwa besar dari seluruh kepimpinan serta rakyat. Memperkaya penyelidikan dan penulisan ilmiah dalam bahasa ibunda – agar boleh diakses dan dihadam  oleh pelbagai lapisan masyarakat merupakan satu cita-cita murni negara.

Bahasa memindah nilai

Mengurangkan kebergantungan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa sekunder dalam proses pengajaran dan pembelajaran utama rakyat Malaysia merupakan sesuatu yang rasional dan boleh dijelaskan. Ia sesungguhnya bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembentukan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial berdasarkan nilai-nilai tempatan.

Sesungguhnya Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu itu telah terbukti mampu membentuk individu dengan kearifan lokalnya yang tersendiri.

Usaha-usaha ini bukan bermakna kita mahu membentuk pemikiran yang ‘terpinggir’ dan ‘terpencil’ malah globalisasi sememangnya menuntut penguasaan masyarakat terhadap Bahasa-bahasa lainnya juga. Namun bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global tanpa mengorbankan warisan budaya dan bahasa sendiri maka satu usaha komprehensif diperlukan selaras aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Komitmen kerajaan MADANI ini terlihat pada naskhah belanjawan 2025 apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima peruntukan RM50 juta secara keseluruhan bagi  menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan beradaptasi serta mapan dalam menyesuaikan keperluan pemerkasaan Bahasa Melayu pada era digitalisasi ini.

Manakala melalui Ikhtiar ke 57 belanjawan 2025 begitu terang menjelaskan akan keperluan khazanah bahasa dan sastera yang perlu dijaga dan dipertahankan. Untuk itu sekali lagi kerajaan memperuntukkan 50 juta untuk Dewan   Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi bekerjasama dengan penggiat bahasa dalam mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan. Ini termasuklah usaha menterjemah karya-karya besar luar negara yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dengan keindahan bahasa dan makna mendalam.

Mengalih bahasa karya sastera dan kesusasteraan asing adalah penting bagi memperkayakan variasi khazanah sastera sendiri. Ia membolehkan masyarakat melihat idea, gaya dan tema penulisan dari pelbagai sudut pandangan serta pemikiran berbeza. Sekali gus pembaca berupaya memahami kehidupan dan nilai-nilai budaya lain yang memupuk sikap toleransi serta keterbukaan.

Kearifan lokal (local wisdom) juga mampu diperkaya dan berinovasi dengan memahami falsafah, pemikiran dan isu-isu dalam sastera asing yang diterjemah. Melalui penterjemahan maka kandungan berharga dalam karya sastera tersebut dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira tahap kebolehan bahasa mereka. Sekali gus membolehkan pembaca Malaysia di semua peringkat berfikiran lebih kritis dan mampu mengimbangi pengaruh globalisasi semasa. Contohnya terhadap isu-isu keadilan sosial, ekonomi, peperangan, kemanusiaan dan hak asasi.

Akhir sekali, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang kebetulannya diadakan pada bulan Oktober ini bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan dengan tema “Sayangi Bahasa, Sayangi Negara” – di satu sisi bagaikan sebuah tamparan hebat kepada jati diri warga sebuah negara yang sudah lama meletakkan bahasanya di satu tempat mulia. Dalam kesibukan pembangunan yang tidak terhenti, darjat bahasa dan kesusasteraan negara perlu dipertahankan demi memperkukuhkan keupayaannya bersaing di pentas dunia tanpa kehilangan jati diri. Moga terus ada sinar kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Kebangsaan ini dalam kewajaran peruntukan Belanjawan Madani 2025.

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Dekan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 23 Oktober 2024: Belanjawan 2025: Angkat darjat bahasa dan kesusasteraan 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 23 Oktober 2024: Belanjawan 2025: Angkat darjat bahasa dan kesusasteraan

Belanjawan 2025: Angkat darjat bahasa dan kesusasteraan