Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin

Bagi menarik minat anak-anak Johor kepada penghasilan roket perum, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah menganjurkan bengkel perkongsian ilmu intensif bertajuk ‘Junior Rocket STEM Program 2024.’

Bengkel yang diadakan 24 Julai lalu itu disertai 18 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentara Luar (Batu Pahat), SMK Suria Perdana (Batu Pahat) dan Maktab Rendah Sains Mara Johor Bahru.

Bengkel siri kedua yang diadakan sebagai salah satu inisiatif program perpindahan ilmu kepada komuniti itu dianjurkan oleh sekumpulan penyelidik UTHM terdiri daripada Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, Dr. Adam Kasani, Prof. Madya Ts. Dr. Aslam Abdullah, Prof. Madya Ts. Dr. Syariful Syafiq Shamsudin, Ts. Dr. Mohd Fadhli Zulkafli, Iman Fitri Ismail dan Fahmi Pairan.

Manakala beberapa pelajar FKMP dari kelab Aeronautik dan Persatuan Pelajar Mekanikal turut terlibat sebagai fasilitator sepanjang program berlangsung.

Program itu bertujuan memberi bimbingan kepada peserta anak-anak Johor yang akan menyertai Malaysia Rocket Competition (MRC) 2024, selain menyemai minat pelajar sekolah terhadap bidang sains, matematik dan teknologi (STEM).

Untuk rekod, MRC 2024 akan diadakan pada 3 hingga 5 September 2024 akan datang bertempat di Felcra Seberang Perak, Perak.

Secara keseluruhannya, lima sekolah anak Johor telah berjaya melepasi saringan awal pertandingan hasil bimbingan penyelidik UTHM, setelah mengikuti Program Kesedaran Teknologi Roket anjuran UTHM yang diadakan pada Februari lalu.

Perkongsian tersebut telah mendedahkan pelajar tentang proses penilaian reka bentuk menggunakan perisian Open Rocket dan penggabungan roket perum.