KULAI, 1 JUN 2024 – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga alam semula jadi, 35 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Khidmat Masyarakat Seksyen 3, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjayakan program Hike Up, Pick Up bertempat di Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1, Johor.
Program tersebut dilaksanakan bagi membantu merealisasikan matlamat yang termaktub dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu matlamat keempat (kualiti pendidikan) dan matlamat ke-15 (hidupan atas darat).
Program anjuran Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Rotary Club Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Kulai (MPK) itu turut melibatkan pengajar kursus, wakil dari setiap pihak kerjasama dan komuniti setempat.
Turut menyertai program tersebut, President Elect Rotary Club Batu Pahat, Donald Ong Choong Xin, selaku wakil pihak kerjasama dan penaja bagi program itu serta wakil Majlis Perbandaran Kulai, Muhamad Zhafri Farid @ Hashi.
Antara aktiviti yang dilaksanakan, mendaki sambil mengutip sampah, mengedar e-risalah kesedaran dan kepentingan memelihara/memulihara hutan, menyusun batu sungai sebagai laluan lintasan pengunjung, serta membersih, mengecat dan menceriakan bahagian tarikan utama tugu Hutan Lipur Gunung Pulai 1 itu dalam tempoh tiga jam.
Mereka berjaya mengumpul pelbagai sisa buangan termasuklah botol plastik, pembungkus makanan dan lampin pakai buang.
Menurut pengarah program, Emmerich Rentap Anak Raymond, program itu memberi tumpuan kepada melestarikan hutan simpan dengan memulihara hutan daripada pencemaran.
Selain itu, ia juga untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan hutan dan pendedahan kepada isu pencemaran alam kepada para pengunjung.
“Usaha ini bagi menanamkan kesedaran sivik dalam diri pelajar dan komuniti dalam menjaga kebersihan hutan, di samping dapat beriadah melalui aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu pengajar kursus, Khadijah Maulad Bahrol pula berkata program itu telah memberi pendedahan yang luas berkaitan kesedaran menjaga hutan simpan kepada pengunjung melalui edaran e-risalah, selain dapat mencantikkan lagi kawasan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Matlamat kami adalah untuk memberi kesedaran penjagaan kebersihan dan keindahan hutan rekreasi selain mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat,” tambah beliau.