Oleh Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad, Fatin Nurhadirah Fauzi
BATU PAHAT – Bagi memberi pendedahan awal kepada murid sekolah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program “Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Dari Kelas Ke Kerjaya” di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat pada 18 Mei 2024 lalu.
Program itu disertai oleh 45 murid Tingkatan 5, melibatkan sesi ceramah interaktif, kajian kes di industri dan penilaian Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) di kawasan sekolah.
Penganjuran program tersebut merupakan salah satu usaha UTHM untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti menerusi inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM).
Seramai 29 pelajar tahun dua Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) telah terlibat sebagai jawatankuasa pelaksana dan fasilitator, manakala Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad, pensyarah FKMP pula sebagai penasihat dan penceramah program.
Menurut Dr. Musli, tujuan utama program itu adalah untuk memberi pendedahan awal kepada murid-murid mengenai pentingnya mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, terutamanya di sekolah.
“Diharapkan dengan ilmu dan kesedaran yang diperolehi daripada program ini, para peserta akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran di alam pekerjaan kelak, dengan sikap yang lebih bertanggungjawab dan proaktif bagi menjaga keselamatan diri dan rakan sekerja,” katanya.
Melalui program tersebut, kesedaran peserta tentang hazard/bahaya di tempat kerja dan sekolah dapat ditingkatkan dan mereka mampu mengaplikasikan kemahiran menilai risiko seperti HIRARC, selain dapat mengenal pasti dan mengurus risiko dengan lebih berkesan.
Mereka juga didedahkan dengan pelbagai peluang kerjaya berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Sementara itu, bagi para pelajar UTHM pula mereka dapat mengaplikasikan teori keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam situasi sebenar, yang mana pengetahuan mengenai pengurusan risiko dan kaedah HIRARC diaplikasikan dalam komuniti sekolah.
“Pengalaman ini tidak hanya meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan membuat keputusan mereka, tetapi juga membantu melahirkan pelajar-pelajar yang berdaya saing dalam pasaran kerja.
“Selain itu, mereka juga mendapat peluang untuk berinteraksi dengan komuniti sekolah, memahami cabaran sebenar yang dihadapi dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan, serta menyumbang kepada peningkatan kesedaran keselamatan dan kesihatan dalam masyarakat,” tambah Dr. Musli.