Oleh Dr. Tasiransurini Ab Rahman

BATU PAHAT, 18 Jun 2024 – Hari Raya Aidiladha pada tahun ini bertambah bermakna kepada komuniti Kampung Orang Asli Desa Sri Banang, Minyak Beku apabila mereka berpeluang menyambutnya bersama staf dan para pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

FKEE telah berkerjasama dengan ABIM Batu Pahat menganjurkan Program Ibadah Korban & Kempen Sumbangan Sekampit Beras (KSSB) sempena berlangsungnya Karnival Peduli Komuniti (KAPKOM) 2024.

Antara aktiviti yang dilaksanakan, ibadah korban dengan menyembelih tiga ekor lembu, melapah daging korban dan memasaknya secara bergotong royong, Bengkel SMART Solat, Bengkel Keibubapaan Hikmah, Kursus Asas Sembelihan, sesi saringan ‘Kanser Reproduktif,’ pemeriksaan kesihatan, pameran daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta penyerahan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk kampung.

Turut hadir sebagai sukarelawan, Dekan FKEE, Profesor Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FKEE, Profesor Madya Ir. Dr. Nur Hanis Mohammad Radzi, yang juga pengarah program.

Dr. Asmarashid berkata selain dapat meraikan Aidiladha bersama komuniti orang asli, program itu dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama rakan kerjasama dan para sukarelawan yang terlibat.

”FKEE turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak lagi yang bekerjasama menjayakan program ini iaitu Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Batu Pahat, Kumpulan Pelajar Islam Johor Batu Pahat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Pejabat Agama Daerah Batu Pahat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Batu Pahat,” tambah beliau.

Sementara itu, Karnival KAPKOM tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batu Pahat, Tuan Haji Onn Abu Bakar yang merupakan penaja utama karnival.

Turut menaja penganjuran karnival itu, Syarikat Faiza Batu Pahat, Kedai Ain Evergreen, Kedai Runcit Sorlinaz dan Splus Cash & Carry.