Oleh Ts. Dr. Roslinda Ali
Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dengan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melalui KITARecyle meneruskan siri Pertandingan Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) 2024 dengan menyasarkan sebanyak 60 tan kutipan barangan kitar semula.
Majlis perasmian yang diadakan pada 22 April lalu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Tuan Aznan Tamin sempena sambutan Hari Bumi Sedunia.
Sebanyak 40 sekolah rendah dan 20 buah sekolah menengah di sekitar negeri Johor yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang akan bermula pada 1 Mei sehingga 31 Ogos 2024 akan datang.
Menurut pengarah program, Ts. Dr. Roslinda Ali, program tersebut merupakan kali kedua dilaksanakan setelah mendapat sambutan yang memberansangkan pada tahun 2023.
Tambah beliau, pelaksanaan program tersebut telah menyumbang kepada penurunan karbon sebanyak 44,911.48 kilogram setara karbon dioksida.
“Oleh itu, pada tahun ini program disebarluaskan kepada seluruh negeri Johor (Wilayah Utara) dengan harapan ia akan memberi sumbangan kepada pendidikan lestari dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Pada tahun ini, satu kategori baru diperkenalkan iaitu Kategori Pertandingan Video Wira Lestari.
Kategori tersebut terbuka untuk semua lapisan pelajar yang sedang menuntut di institusi pendidikan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional dan institut pengajian tinggi awam dan swasta.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Korporat SWM Environment, Muhammad Bakhtiar Azni pula berkata program itu diperkenalkan bertujuan untuk menguji kreativiti pelajar dalam menarik perhatian dan minat masyarakat umum terhadap amalan 3R dalam kehidupan harian mereka.
“Tidak dapat dinafikan, pada zaman ini teknologi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia, terutamanya generasi muda.
“Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan medium ini dengan bijak untuk mendidik dan menggalakkan generasi muda untuk mengamalkan prinsip 3R sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka,” katanya.
Terdapat lima kategori wajib yang akan dipertandingkan iaitu Pertandingan KITARecycle Wira Lestari, Pertandingan Bercerita Wira Lestari, Pertandingan Sudut Wira Lestari, Pertandingan Ecobrick Wira Lestari dan Pertandingan Usahawan Wira Lestari.
JESAWIL 2024 merupakan salah satu usaha dalam melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara yang memfokuskan aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Diharapkan penglibatan ini akan memberikan impak positif terhadap usaha meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan, masyarakat dan industri dalam menjayakan pendidikan alam sekitar, sekali gus mewujudkan suasana yang kondusif bagi melahirkan generasi masyarakat yang mempraktikkan amalan hidup lestari,” kata Dr. Roslinda.