Oleh Suriayati Baharom

SENAI – Kira-kira 100 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM menyertai Program Khidmat Masyarakat UTHM Prihatin Bersama Media Johor pada 9 Mac 2024 lalu bertempat di Kampung Jaya Sepakat, Senai, Johor.

Program di bawah Kluster UTHM prihatin yang dikendalikan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat dan Yayasan UTHM itu diisi dengan aktiviti seperti gotong royong mengecat kediaman penduduk, pertandingan mewarna, sukaneka dan aktiviti perpindahan ilmu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan universiti dengan komuniti.

Selain itu, program yang turut mendapat kerjasama daripada Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Pusat Hubungan Industri dan Pejabat Pendaftar itu juga bertujuan membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan media Johor melalui penganjuran aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir menyempurnakan Majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat UTHM Prihatin Bersama Media Johor yang diadakan sejurus selesai aktiviti gotong royong.

Beliau dalam ucapannya berkata warga UTHM sangat komited melibatkan diri secara aktif dalam program-program komuniti yang memberi manfaat kepada semua pihak.

“Saya sangat menggalakkan warga kampus menganjurkan aktiviti CSR seperti ini yang secara tidak langsung dapat menyebarluaskan khidmat kami kepada masyarakat bukan sahaja dalam bentuk tenaga tapi juga ilmu dan kemahiran.

“UTHM ialah sebuah universiti awam yang berkonsepkan paradigma tauhid, oleh itu pihak kami cuba menerapkan konsep ini di bawah kluster UTHM Prihatin agar setiap warga kampus dapat menzahirkan keprihatinan masing-masing terhadap golongan berkeperluan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak media atas segala bentuk promosi, publisiti dan liputan yang diberikan sepanjang tahun 2022/2023 lalu dalam meningkatkan keterlihatan UTHM di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Untuk rekod, pada tahun lalu sebanyak RM5.3 juta nilai program CSR telah dibelanjakan, dengan 53,607 jam kesukarelawan melibatkan staf dan pelajar serta seramai 85,660 orang telah menerima manfaat. 

Selain itu sebanyak 155 program yang berteraskan inovasi sosial telah dilaksanakan, yang mana komuniti telah mendapat manfaat berdasarkan hasil kemahiran dan kajian universiti.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad, Timbalan Presiden Kelab Media Johor, Raja Jaafar Raja Ali selaku wakil rasmi Presiden KMJ,  Ketua Pustakawan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Zaharah Abd Samad, merangkap Ketua Kluster UTHM Prihatin, wakil rasmi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Adib Reeza Osman, Penghulu Mukim Senai, Haji Mohd Redza Abdul Rahman serta Ketua Kampung Jaya Sepakat, Roslan Baharuddin.

Turut diadakan, penyampaian bantuan tunai kepada asnaf, ibu tunggal dan pelajar-pelajar sekolah serta tajaan biasiswa Yayasan UTHM kepada lima pelajarnya, selain penyerahan LCD Projektor serta al-Quran kepada Pengerusi masjid kampung tersebut.

Naib Canselor turut menyampaikan mock nombor plat UTHM tajaan Pusat Wakaf dan Endowmen kepada rakan-rakan Media Johor sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah membantu meningkatkan keterlihatan UTHM selama ini.

Pertandingan mewarna melibatkan penyertaan kanak-kanak.
Aktiviti gotong royong mengecat kediaman penduduk.
Aktiviti gotong royong memasak juadah untuk sukarelawan dan penduduk kampung.
Penyampaian bantuan tunai kepada asnaf dan ibu tunggal.
Penyampaian bantuan tunai kepada 20 pelajar sekolah daripada golongan B40.
Penyampaian biasiswa tajaan Yayasan UTHM kepada lima pelajar terpilih.
Penyampaian mock nombor plat UTHM kepada pihak Media Johor.