Perubahan cuaca dunia yang semakin meningkat turut mempengaruhi kejadian banjir di seluruh dunia. Sebagai sebuah negara yang beriklim khatulistiwa, Malaysia tidak terkecuali daripada kemungkinan menghadapi bencana ini. Trend banjir kini jelas menunjukkan peningkatan pada skala yang besar dan berulang-ulang. Faktor semula jadi seperti curahan hujan yang tinggi pada satu-satu masa, tiupan angin yang kencang serta faktor kelemahan pengurusan manusia dalam menangani banjir telah memberi implikasi yang besar kepada mangsa. Banjir yang berlaku, sifatnya boleh diramal dan ada kalanya berlaku di luar jangkaan. Banjir yang berlaku di luar jangkaan dan tidak menepati ramalan boleh memberi impak yang besar kepada manusia dan persekitaran. 

Bencana banjir yang berlaku dalam magnitud yang besar biasanya akan mengakibatkan kemusnahan harta benda, kerosakan fasiliti, kematian haiwan ternakan, memusnahkan hasil pertanian, kecederaan dan kematian.  Impak yang paling besar daripada bencana, umpamanya banjir besar adalah kehilangan nyawa dalam kalangan ahli keluarga.  Kemusnahan dan kehilangan ini akan memberi beban dari segi psikologi kepada mangsa yang terlibat terutamanya dari aspek emosi secara langsung kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

Banyak kajian dan penulisan sebelum ini menumpukan perhatian terhadap bencana banjir dan kesannya ke atas kerugian kewangan, ekonomi, infrastruktur dan kemusnahan persekitaran. Bahkan di Malaysia tumpuan terhadap kesan banjir secara fizikal yang melibatkan kemusnahan harta benda dan infrastruktur telah mendapat perhatian yang tinggi. Pampasan, bantuan pakaian, keperluan dan kewangan juga turut diberikan oleh pihak perseorangan, badan bukan kerjaan (NGO), kerajaan dan pihak insuran kepada mangsa yang terlibat. Walau bagaimanapun, kajian dan penulisan yang cuba memahami dan menfokuskan pengurusan pasca banjir dengan memberi penumpuan terhadap impak psikologi masyarakat kurang diketengahkan.

Oleh yang demikian, perhatian dan fokus penelitian terhadap pengurusan pasca banjir iaitu impak psikologi mangsa banjir perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan. Ini kerana kesan psikologi boleh mempengaruhi emosi mangsa kepada trauma sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Pengurusan pasca banjir wajar diberi perhatian iaitu menitikberatkan aspek keselamatan psikologi secara strategik, taktikal dan operasional yang harus menjadi teras kepada bantuan dan juga pengurusan kepada mangsa banjir.

Fenomena bencana banjir berlaku hampir setiap tahun, dan hampir seluruh negeri di Malaysia mengalaminya termasuk di Sabah dan Sarawak. Statistik menunjukkan mangsa banjir meningkat dari tahun ke tahun. Contohnya banjir pada tahun 2014 mencatatkan sejarah paling buruk apabila banjir Monsun Timur Laut yang melanda telah ‘menenggelamkan’ beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, dan Johor. Manakala banjir yang berlaku pada Disember 2023 di Kelantan, merupakan paling terburuk berbanding tahun sebelumnya iaitu mangsa sekitar 23,000 orang. Beberapa buah kampung yang berada di daerah Rantau Panjang telah ditenggelami air yang dibaratkan seperti “laut” kerana terletak di antara dua benteng iaitu benteng di sebelah Thailand dan Pasir Mas. Ia merupakan rekod terburuk apabila kampung-kampung dan taman perumahan sekitar ditenggelami banjir. Keadaan ini benar-benar membangkitkan kemarahan penduduk kerana menurut pandangan mereka banjir besar ini disumbangkan oleh kelemahan dan kegagalan pengoperasian benteng banjir.

Emosi seperti tertekan, tersepit, kecewa, marah, takut dan sedih merupakan perasaan dalaman yang boleh mempengaruhi psikologi seseorang secara keseluruhan. Apatah lagi mangsa yang terlibat terdiri daripada pelabagai peringkat umur iaitu daripada bayi sehinggalah golongan warga emas. Emosi yang tidak stabil boleh memberi gangguan terhadap mental mangsa. Mereka mungkin akan mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan yang serius, kemurungan dan mungkin juga boleh membawa kepada tahap yang tidak dapat dikawal seperti membunuh diri. Apabila keadaan ini tidak dikawal dan diuruskan dengan baik, ianya akan mengesani kualiti hidup mangsa banjir secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, sangatlah wajar pihak kerajaan memberi tumpuan khusus terhadap pengurusan pasca banjir iaitu impak psikologi terhadap mangsa banjir. Pengurusan yang komprehensif wajar dirancang, diperhalusi dan boleh dilakukan simulasi dengan mengambil kira adanya sistem yang memantau data penduduk berisiko dan berkeperluan. Penglibatan ketua kampung, Penghulu dan wakil penduduk sangat penting dalam membekalkan data jumlah penduduk yang terkesan di kawasan mereka yang merangkumi golongan kanak-kanak dan bayi; golongan warga emas dan golongan dewasa bagi memudahkan bantuan sampai kepada golongan sasaran. Data ini sangat penting dan membantu bukan sahaja semasa operasi menyelamatkan mangsa ketika banjir, tetapi juga mampu membantu pihak berkuasa dalam menyediakan bantuan kaunseling kepada golongan yang bersasar.

Ini adalah selaras dengan saranan WHO (2015) yang menyeru kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam mengurus dan mengatasi kesihatan awam. Pihak-pihak yang terlibat adalah merangkumi agensi-agensi seperti pengurusan kolej, universiti, kaunselor, agensi kerajaan seperti Bahagian Pendidikan Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia), agensi swasta dan agensi berkaitan bersama-sama membantu merancang dan merangka program-program bersifat pencegahan dan kesedaran, pendidikan kesihatan dan intervensi bagi memperkukuh strategi daya tindak dan daya tahan dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir.

Kewajaran pihak-pihak yang terlibat seperti agensi-agensi kerajaan, swasta, kaunselor yang mempunyai kepakaran dalam aspek ini dilibatkan dalam pengurusan pasca banjir supaya mangsa-mangsa banjir ini dapat pulih dengan cepat. Mereka bukan sahaja perlu dibantu dari segi kewangan/pampasan dan aspek pembersihan rumah, bahkan aspek emosi dan psikologi mereka juga perlu diberi sokongan supaya mereka cepat pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Justeru, diharapkan saranan ini dapat memberi kesedaran dan mendapat tindakbalas yang positif dari pihak yang berkaitan supaya kita bersama-sama dapat membantu mangsa banjir bagi meningkatkan kualiti hidup dari aspek fizikal dan psikologi mereka pada masa akan datang.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Persekitaran,

Penyelidik Utama, Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM),

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat:19), 12 Januari 2024: Tangani emosi, trauma mangsa banjir 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 12 Januari 2024: Tangani emosi, trauma mangsa banjir 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/01/tangani-emosi-trauma-mangsa-banjir/