BATU PAHAT – Buat julung kalinya Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membawakan pihak industri terus kepada pelajar tahun akhir melalui penganjuran Program Real Estate Week 5.0 (Program REW 5.0).
Penganjuran kali kelima pada 20 hingga 23 November 2023 itu melibatkan seramai 409 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah (BREM), FPTP.
Bertemakan “Bridging Opportunities in Real Estate Career,” penganjuran program itu melibatkan penyertaan lapan syarikat harta tanah dalam satu sesi temuduga yang bertujuan untuk memberi penempatan latihan industri kepada pelajar.
Lebih 90 pelajar telah terlibat dalam sesi temuduga yang dijalankan secara bersemuka dan secara dalam talian.
Penasihat program, Dr. Khadijah Md. Ariffin berkata program yang dijalankan pada setiap semester itu mempunyai sedikit kelainan pada kali ini bertepatan dengan hasrat universiti untuk merapatkan jurang dengan pihak industri.
“Pihak kami sebelum ini banyak menerima permintaan daripada industri untuk mendapatkan tenaga pekerja dalam bentuk penempatan latihan di industri mahupun pekerja tetap dalam kalangan graduan.
“Oleh itu, program ini diharapkan dapat membantu pihak industri mendapatkan tenaga kerja di samping untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai proses dan tatacara temuduga yang sebenar,” katanya.
Selain sesi temuduga, program tersebut turut diisi dengan sesi ‘Finishing School’ yang diketuai oleh Dr. Norfaniza Mokhtar dan dibantu oleh 10 Jurulatih Kerjaya UTHM.
Pelajar tahun akhir diberikan bimbingan peribadi mengenai tatacara penyediaan ‘resume’ yang betul dan turut diberi pendedahan berkaitan kerjaya bidang harta tanah dalam kalangan pelajar baharu melalui beberapa panel jemputan khas.
Antaranya, Sr. Dr. Tan Liat Choon, Committee Chair dari Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) cawangan Johor; Muhamad Saiful Afiq dan Aimi Zafiri dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Batu Pahat dan alumni BREM tahun 2007, Kodieswary Radha, Pengurus Hartanah UTEN Holdings Sdn. Bhd.
Pada masa yang sama, pelajar tahun 1 hingga tahun 3 BREM juga berpeluang membentangkan projek akhir masing-masing kepada panel yang telah dilantik oleh fakulti.
Pembentangan mereka dinilai bukan sahaja dari aspek teknikal kursus berkaitan, malah dari aspek kemahiran komunikasi dan keyakinan diri.
Program itu telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Azlina Md Yassin selaku wakil rasmi Dekan FPTP.
Hadir sama, kumpulan delegasi mobiliti luar negara dari Universitas Islam Malang (UNISMA), Indonesia yang diketuai oleh Dr. Hj. Rini Rahayu Kurniati.
“Kejayaan program ini dianggap sebagai satu cabaran untuk merancang Program REW 6.0 yang lebih inklusif pada masa akan datang,” tambah Dr. Khadijah.