Nyawa penduduk Palestin tidak ubah seperti telur di hujung tanduk apabila rejim Zionis Israel berterusan melakukan serangan balas pengeboman di Gaza. Dianggarkan seramai 10,859 orang mengalami kecederaan dalam tempoh 10 hari serangan ini berlaku. Manakala angka korban syahid di Gaza telah mencecah 2,808 orang. Kira-kira 64 peratus daripada bilangan yang terbunuh ini adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. (Sumber: Al-Jazeera)

Bayangkan trauma anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa sekelip mata. Mereka terpaksa tidur di celahan katil hospital yang merawat mangsa lain kerana takut dibedil jika mereka berterusan berkeliaran di luar. Mampukah kita berhadapan dengan situasi ini sekiranya ia berlaku kepada ahli keluarga kita sendiri? Tanpa iman yang utuh, pastinya hal ini sukar untuk kita tempuh.

Kebanyakan daripada rakyat Palestin bukan sahaja kehilangan ahli keluarga. Bahkan, mereka juga bergelut dengan kelaparan dan kesejukan pada waktu malam tanpa tempat untuk berteduh. Lebih 470,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal dan juga kekurangan air. Di Gaza, peti penyejuk menyimpan mayat di hospital juga sudah tidak mampu untuk menampung keperluan mendesak sejak berlakunya serangan udara Israel.

Krisis yang melanda bumi Gaza ini seharusnya membuka mata kita semua tanpa mengira agama mahu pun bangsa. Kebebasan mereka diragut dan mereka juga berhadapan dengan ancaman kehilangan nyawa. Namun, semangat perjuangan rakyat Palestin untuk bangkit membebaskan tanah air mereka yang tercinta daripada cengkaman rejim Zionis Israel tidak pernah luntur.

Secara tidak langsung, detik-detik sukar yang berlaku di Gaza kini menjadi penyuntik semangat jihad umat Islam khususnya. Walaupun kita tidak mampu untuk berada di tanah Palestin secara fizikal, namun tidak menjadi halangan untuk kita menyatakan solidariti kepada mereka. Salah satu jihad di jalan Allah itu adalah dengan mengingkari mereka yang menentang agama-Nya serta memboikot mereka yang memusuhi Allah serta rasul-Nya.

Bagi rakyat Malaysia, terdapat banyak cara lain untuk kita turut berjihad walaupun kita tidak berada di medan peperangan. Sebagai contoh, kita boleh menyumbangkan bantuan dari segi kewangan kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang mengutip sumbangan untuk rakyat Palestin. Namun, pastikan pertubuhan tersebut adalah dipercayai telus agar bantuan tersebut dapat disalurkan dan bukannya disalahgunakan.

Dalam pada itu, menurut laporan Digital 2023, purata pengguna internet di Malaysia yang berusia antara 16 hingga 64 tahun menghabiskan masa selama 2 jam 47 minit menggunakan media sosial setiap hari. Berdasarkan angka ini, secara umumnya rakyat Malaysia menggunakan masa hampir tiga jam setiap hari untuk melayari media sosial.

Umat Islam tidak seharusnya menjadi pengguna media sosial yang pasif. Jadikan media sosial sebagai medan untuk kita menyebarkan informasi dan kesedaran kepada orang sekeliling tentang isu yang sedang melanda Gaza. Jika tidak mampu untuk memuat naik sendiri bahan di media sosial kita, paling tidak kita boleh mengongsikan informasi yang diyakini sahih. Hanya dengan satu ketikan di hujung jari, kita mampu meraih pahala dan saham akhirat.

Usaha bagi meningkatkan kesedaran ini amatlah penting. Betapa ramai umat Islam yang masih lalai dan tidak cakna akan perjuangan saudara se-Islam di Palestin. Mereka bukan sahaja mempertahankan tanah air mereka. Bahkan mereka turut berjuang mempertahankan Masjid al-Aqsa yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam. Masjid ini yang terletak di Baitulmaqdis (kini dikenali sebagai Jerusalem oleh negara barat) merupakan ibu negara sebenar bagi Palestin.

Tuntasnya, nikmat iman, Islam dan juga keamanan merupakan nikmat yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Melihat situasi semasa di Gaza sepatutnya menjadikan kita lebih mensyukuri nikmat kehidupan kita selama ini. Lakukanlah walau sekecil apa jua usaha untuk membantu insan lain yang memerlukan. Nescaya kita akan menuai hasilnya di akhirat kelak.

 

 

 

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 22 Oktober 2023: Tangisan Gaza suburkan semangat jihad Islam 

https://malaysiagazette.com/2023/10/22/tangisan-gaza-suburkan-semangat-jihad-islam/

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 30 Oktober 2023: Rakyat Malaysia boleh `berperang` bagi pihak Palestin 

 

3. Utusan (utusan.com.my), 30 Oktober 2023: Rakyat Malaysia boleh `berperang` bagi pihak Palestin 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/10/rakyat-malaysia-boleh-berperang-bagi-pihak-palestin/