Oleh Mohd Zarir Yusoff, Muhammad Ammar Shafi
PASIR GUDANG – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Tanjung Langsat Terminal Sdn. Bhd. (TLP) bersepakat menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan perundingan untuk manfaat bersama.
Bagi merealisasikan hasrat kerjasama tersebut, kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 12 Julai lalu bertempat di Zues Hall, Langsat Osc, Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
MoU tersebut diwakili Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim manakala TLP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazri Mansor dan disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Naim Maslan.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Perniagaan TLP, Md Nizam Othman, Pengurus Bahagian Pengurusan Operasi, Kapten Mohd Rizal Mohd Jais; Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri; Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan FPTP, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom serta Ketua Jabatan Pengurusan dan Teknologi, FPTP, Dr. Wan Nurul Karimah Wan Ahmad.
Kerjasama dua pihak yang telah diusahakan oleh felo industri FPTP, Mohd Zarir Yusoff itu merupakan satu keperluan kepada industri masa kini.
Temeterainya perjanjian kerjasama untuk tempoh tiga tahun itu juga selari dengan visi UTHM untuk menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan selain menyokong UTHM ke arah Global Technopreneur Universiti pada tahun 2030 (GTU 2030).
Menurut Mohd Zarir yang juga penyelaras MoU, UTHM dan TLP mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu pembangunan akademik, penyelidikan dan perundingan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing dalam konteks sains dan teknologi.
“Usaha sebegini dapat mengetengahkan kepakaran yang ada di universiti dan industri dalam memenuhi keperluan negara serta komuniti terutamanya dalam bidang pengurusan dan teknologi,” katanya.
Selain itu, MoU itu juga akan membuka peluang kerjasama dengan industri khususnya berkaitan penempatan pelajar, pertukaran staf, konsultansi dan perkongsian kepakaran penyelidikan bersama melalui pemberian geran industri dan geran sepadan, persidangan bersama, latihan industri dan pengajaran serta lain-lain yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.