Oleh Inv. Dr. Siti Noraiza Ab Razak
CHENNAI – Pensyarah Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Inv. Dr. Shelena Soosay Nathan menerima anugerah ‘Young Faculty’ dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) ketika berlangsungnya Forum 9th Contemporary Academic Meet (CAM) yang berlangsung pada 15 Julai 2023 di Green Park Chennai, India.
Pengiktirafan tersebut hasil pencapaian dan sumbangan beliau yang luar biasa dalam bidang keilmuan dan pengajaran khususnya teknologi maklumat.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Venus International Foundation (VIF), Dr. Ramakrishnan Sathishkumar.
Untuk rekod, Venus International Faculty Awards (VIFA) telah diperkenalkan sejak tahun 2015 oleh Centre for Learning Network (CLN), VIF.
Bertemakan “Future shape of Higher Education, Technological Change and Expectations of the Next Generation Students,” Forum CAM yang dihadiri lebih 50 wakil dari pelbagai negara itu melibatkan bidang kepakaran yang pelbagai antaranya kejuruteraan elektrik, pembuatan mikro, kesihatan dan perubatan serta kepintaran buatan (AI).
Dr. Shelena juga dijemput sebagai salah seorang pengucaptama bagi berkongsi idea dan pengetahuan beliau yang bertajuk “Internet of Things (IoT): Sci-Fi to Reality”.
Sesi syarahan yang berlangsung selama 30 minit itu membuka banyak interaksi positif bersama peserta yang berminat dengan perkembangan IoT masa kini.
Forum tersebut juga memberi banyak manfaat terutama bagi tujuan kolaborasi antarabangsa serta mempromosikan UTHM di peringkat global.
Kehadiran Dr. Shelena sebagai penerima Anugerah ‘Young Faculty’ dan pengucaptama dalam forum tersebut merupakan satu penghargaan kepada sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan pengetahuan tentang IT dan IoT.
Pengiktirafan antarabangsa itu sekali gus membantu UTHM menjadi istitusi pendidikan yang berupaya menghasilkan staf akademik yang berkualiti dan kompeten dalam pelbagai bidang.