BATU PAHAT – Sempena sambutan ulang tahun ke 30 penubuhan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Institut Ahli Sunnah wal Jamaah (iSWAJ) sekali lagi telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemikiran Islam (PEMIKIR 3) buat kali ketiga pada 26 dan 27 Julai 2023 lalu secara hibrid bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk.

Penganjuran persidangan yang mengumpulkan kumpulan pemikir dan penulis Islam kali ini mendapat sambutan yang sangat baik terutama daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) selaku rakan kerjasama.

Persidangan tersebut juga mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Mufti Johor (JMJ), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Negara Brunei Darussalam.

Bertemakan “Memperkukuhkan Kesejahteraan Ummah Berlandaskan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah” persidangan itu bertujuan membincangkan isu, cabaran dan masa depan berkaitan dengan pemikiran yang selari dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah demi kesejahteraan ummah.

Seramai 200 peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah, guru, pendidik dan penyelidik dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Indonesia dan Nigeria termasuk tiga sekolah agama sekitar negeri Johor telah menyertai persidangan itu.

Dato’ (Dr) Hj Nooh Gadot selaku Penasihat MAINJ hadir merasmikan persidangan itu.

Turut diadakan, pelancaran Buku ‘Sambutan 10 tahun penubuhan iSWAJ sejak 2013’ dan buku ilmiah terbitan IKIM yang berjudul ‘Kekeliruan Gender: Penjelasan Islam.’

PEMIKIR 3 juga turut menerima kehadiran tiga pengucaptama iaitu Prof. Ts Dr Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM, YM Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidi, Timbalan Mufti Negara Brunei Darussalam, dan Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pengarah Pusat SYARAK, IKIM.

Hadir sama, Prof. Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM, YB Rashidah Ramli, ADUN Parit Raja, dan Tuan Haji Mustapahayuddin Abdul Khalim, Pengarah iSWAJ bersama pegawai-pegawai kadi daerah Batu Pahat, Pontian, Kluang, Muar dan Tangkak.

Melalui persidangan itu, lima Anugerah Kertas Terbaik dan lima Anugerah Pembentang Terbaik telah diberikan berdasarkan kepada lima skop yang telah ditetapkan iaitu Isu Akidah dan Pemikiran, Syariah dan Pendidikan, Dakwah dan Kemanusiaan, Ekonomi dan Muamalat, serta Inovasi Islam.

Berdiri sebagai pusat penyebaran ilmu, PTTA UTHM juga turut menerima sumbangan buku-buku terbitan ilmiah dari pihak IKIM bagi menambah koleksi rujukan khususnya dalam konteks kefahaman Islam sebenar.

Untuk rekod, ‘PEMIKIR 3 ini adalah lanjutan dari PEMIKIR 1 dan 2 yang bermula sejak tahun 2018.

Menurut Pengerusi PEMIKIR 3, Dr. Nur Zainatul Nadra Zainol yang juga Ketua Jabatan iSWAJ,   PEMIKIR 4 pula bakal diteruskan pada tahun 2025 nanti di Negara Brunei Darussalam.

“Demi memperkuatkan dan memperkukuhkan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah khususnya di negeri Johor dan Malaysia, PEMIKIR akan sentiasa diteruskan bagi memberi tumpuan kepada isu kesejahteraan ummah melalui gabungan kumpulan pemikir dan penulis Islam dari dalam dan luar negara, sepertimana titah DYMM Tuanku Sultan Johor sempena Majlis Multaqa Ulama’ dan Ilmuan Islam pada 2010 lalu,” katanya.