Di dalam kehidupan yang semakin mencabar, penting bagi kita untuk menguruskan perbelanjaan dengan bijak dalam menghadapi kenaikan harga keperluan harian. Dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah, kita dapat mengelakkan kebocoran simpanan dan menjaga keseimbangan kewangan dalam situasi ekonomi yang mencabar. Menurut Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), sebanyak 84 peratus rakyat negara ini didapati hanya membuat simpanan jangka pendek dan mengeluarkan semula simpanan pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian. Separuh daripada rakyat Malaysia tidak dapat menyimpan sebanyak RM1,000 untuk kegunaan ketika kecemasan disebabkan kurangnya pemahaman mengenai perancangan kewangan, manakala 76 peratus rakyat Malaysia mempunyai belanjawan, tetapi tidak semua benar-benar mematuhi belanjawan itu. Belanjawan mengurus perlu disusun dengan baik agar pendapatan yang diperoleh berupaya memberi manfaat sepenuhnya kepada seisi keluarga.
Oleh itu, penting untuk kita mengambil langkah bijak untuk menguruskan kewangan dengan berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat supaya kita mampu mengawal perbelanjaan, mengelakkan simpanan bocor dalam menghadapi kenaikan harga keperluan.
Simpanan
Pertama sekali, memberi keutamaan kepada simpanan adalah sangat penting. Dengan mengutamakan simpanan, kita dapat memastikan bahawa sebahagian daripada pendapatan kita disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Amalan “bayar diri sendiri dahulu” membantu menghindari keinginan untuk menghabiskan keseluruhan pendapatan yang diperoleh. Dengan mengasingkan jumlah tertentu setiap bulan untuk simpanan, kita dapat membina dana kecemasan dan menghadapi ketidakstabilan ekonomi atau keperluan yang mendesak.
Perancangan perbelanjaan
Kedua, penting untuk membuat anggaran perbelanjaan bulanan. Dengan menyediakan anggaran yang terperinci, kita dapat melihat dengan jelas pendapatan dan perbelanjaan bulanan kita. Anggaran perbelanjaan harus meliputi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pengangkutan, dan utiliti, serta perbelanjaan lain seperti hiburan, pakaian, dan hobi. Dengan memperuntukkan jumlah yang sesuai untuk setiap kategori perbelanjaan, kita dapat mengelakkan pembaziran dan menguruskan wang dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, KWSP telah memperkenalkan Aplikasi Mobil Belanjawanku, untuk membantu menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan untuk isi rumah yang berbeza. Justeru itu, perancangan dan kawalan pembelian sangat penting supaya tidak boros berbelanja serta ukur baju di badan sendiri.
Senarai belanja
Selanjutnya, penting untuk membuat senarai barangan sebelum berbelanja. Dengan membuat senarai yang terperinci dan mengikut keperluan sebenar, kita dapat mengelakkan pembelian yang tidak dirancang. Senarai belanja membantu kita tetap fokus pada barang-barang yang benar-benar diperlukan dan mengelakkan pembaziran wang pada barang-barang yang tidak diperlukan. Dengan berbelanja mengikuti senarai belanja akan membantu kita mengawal perbelanjaan dengan lebih baik dan efektif.
Bandingkan harga
Selain itu, penting juga untuk membandingkan harga dan membuat pembelian yang bijak. Sebelum membeli sesuatu barang, bandingkan harga di beberapa kedai atau dalam talian. Mengikut kajian, 75 peratus pengguna di Malaysia menggunakan platform e-dagang untuk membandingkan harga sebelum membuat pembelian. Selidiklah promosi dan tawaran terbaik sebelum membuat keputusan pembelian. Jangan tergesa-gesa atau terpengaruh oleh tawaran yang terlalu menggiurkan. Ambillah masa untuk membuat keputusan dan pastikan anda mendapatkan harga terbaik untuk produk yang anda perlukan terutamanya barangan keperluan yang mahal. Dengan membeli dengan bijak, kita dapat mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Jimat tenaga
Selain daripada itu, penjimatan penggunaan tenaga elektrik dan air perlu diberi perhatian. Pembaziran tenaga elektrik dan air, dapat menyumbang kepada perbelanjaan bulanan yang tinggi. Ambillah langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga seperti mematikan peralatan elektronik yang tidak digunakan, menggunakan lampu jimat tenaga dan mengunakan air secara berhemah. Dengan mengurangkan penggunaan tenaga dan air, anda dapat mengurangkan bil-bil bulanan dan menjimatkan wang dalam jangka masa panjang.
Pengangkutan awam
Pengangkutan awam adalah pilihan yang bijak untuk menjimatkan perbelanjaan. Dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, atau LRT, kita dapat mengurangkan kos bahan api, tol, dan bayaran tempat letak kereta. Selain itu, menggunakan pengangkutan awam juga mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan. Dengan memanfaatkan perkhidmatan awam, kita dapat menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih berkesan. Misalnya, bagi penduduk di kawasan bandar, kos menganggarkan bagi penggunaan kereta peribadi termasuk kos bahan api, tol, tempat letak kereta, dan penyelenggaraan boleh mencapai RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Manakala, menggunakan pengangkutan awam seperti LRT atau bas, kos harian boleh berada di bawah RM10 hingga RM20, bergantung kepada jarak perjalanan dan jenis perkhidmatan yang digunakan.
Jimat perbelanjaan makanan
Selain itu, berjimat cermat adalah elemen penting dalam kawalan perbelanjaan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan purata RM800-RM1,200 sebulan untuk makanan di luar. Ada banyak cara untuk mengurangkan perbelanjaan harian dan menjimatkan wang. Contohnya, memasak di rumah dan membawa bekal ke tempat kerja atau sekolah dapat mengurangkan perbelanjaan makanan di luar.
Satu lagi cara adalah berbelanja mengikut keperluan sebenar dan jumlah yang diperlukan. Menggunakan teknik penyimpanan makanan yang betul, seperti membekukan makanan, juga boleh membantu mengurangkan pembaziran makanan. Kesedaran terhadap pembaziran makanan dapat mengawal perbelanjaan kita dengan lebih efektif.
Langganan dan keahlian yang tidak digunakan:
Banyak individu melanggan pelbagai perkhidmatan dan keahlian yang tidak digunakan sepenuhnya. Menurut kajian, hanya 22 peratus rakyat Malaysia yang membuat penilaian semula terhadap langganan mereka. Meneliti semula keahlian ke pusat kecergasan, langganan televisyen kabel, atau perkhidmatan lain yang tidak digunakan sepenuhnya boleh membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan dan mengelakkan kebocoran simpanan.
Menguruskan hutang
Selain itu, jangan lupa untuk menguruskan hutang dengan bijak. Hutang yang tidak terkawal boleh menyebabkan simpanan bocor dan memberi tekanan kepada kewangan kita. Jika mempunyai hutang, berusaha untuk membayarnya dalam masa yang ditetapkan. Elakkan membuat lebih banyak hutang yang tidak perlu dan pertimbangkan cara untuk mengurangkan atau menguruskan hutang yang sedia ada.
Gaya hidup sederhana
Gaya hidup sederhana adalah salah satu cara yang efektif untuk mengawal perbelanjaan dan mengelakkan kebocoran simpanan. Dengan mengamalkan pembelian yang tidak diperlukan, kita dapat berjimat dan meningkatkan simpanan. Mengutamakan keperluan berbanding kehendak, memperbaiki dan menggunakan semula barang, serta mengamal gaya hidup minimalis juga dapat membantu mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Gunakan barang-barang yang kita miliki dengan sepenuhnya. Dengan menjalani gaya hidup sederhana, kita dapat mengenalpasti keperluan sebenar dan melindungi simpanan kita daripada kebocoran yang tidak diingini.
Gaya hidup sihat
Gaya hidup sihat tidak hanya memberi manfaat kepada kesihatan, tetapi juga dapat menjimatkan perbelanjaan. Mengikut kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, mengamalkan pemakanan seimbang dan aktif fizikal dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti jantung, diabetes, dan obesiti. Dengan mengurangkan risiko penyakit, kita dapat mengurangkan kos rawatan perubatan jangka panjang. Mengamalkan gaya hidup sihat bukan sahaja memberi manfaat kepada kesejahteraan diri, tetapi juga kepada kesejahteraan kewangan.
Pendapatan tambahan
Terakhir, penting untuk mencari pendapatan tambahan jika diperlukan. Dalam menghadapi kenaikan harga keperluan, kadang-kadang pendapatan sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang meningkat. Kita perlu mencari peluang untuk mendapatkan pendapatan tambahan, seperti menjalankan perniagaan sampingan atau mencari pekerjaan separuh masa. Pendapatan tambahan ini dapat membantu menangani kenaikan harga dan menjaga simpanan kita daripada bocor.
Dalam menghadapi kenaikan harga keperluan, belanja berhemah dan berjimat cermat adalah kunci untuk menjaga keseimbangan kewangan dan mengelakkan simpanan bocor. Dengan menyediakan anggaran perbelanjaan, membandingkan harga, membuat senarai belanja, mengurus hutang, gaya hidup sederhana, dan mencari pendapatan tambahan, kita dapat menghadapi kenaikan harga dengan lebih bijak. Mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat akan membantu kita menjaga keseimbangan kewangan dan melindungi simpanan kita dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Setiap individu mempunyai keperluan kewangan yang berbeza-beza berdasarkan keperluan dan gaya hidup masing-masing. Kemampuan kewangan juga berbeza bergantung kepada pendapatan, perbelanjaan dan tanggungjawab kewangan individu tersebut. Adalah penting untuk menguruskan kewangan dengan bijak dan menyesuaikan dengan kemampuan dan keperluan individu masing-masing. Paling penting, sentiasa mengawasi poket pendapatan agar tidak membuat perbelanjaan melebihi pendapatan yang diterima.
Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 32), 10 Julai 2023: Utama amalan bayar diri sendiri terlebih dahulu
2. Utusan (utusan.com.my), 10 Julai 2023: Utama amalan bayar diri sendiri terlebih dahulu
3. Bernama (bernama.com), 22 November 2023: BELANJA BERHEMAH ELAK SIMPANAN BOCOR