KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta rekod membanggakan apabila pelajar dan pensyarahnya berjaya meraih gelaran juara, tempat ketiga dan kelima ketika menyertai Simposium ‘Collaboration with Higher Education Strategic Initiatives’ (CHESS) anjuran PETRONAS pada 4 Jun 2023 lalu bertempat di Pusat Konvensyen KLCC.
Pelajar ijazah doktor falsafah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Shaktivell M.Letchumanan melalui pembentangannya “Smart AI Predective Maintenance On Piping System Using Composite Wrapper” meraih tempat pertama bagi kategori “AI & Robotics” dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 ribu.
Manakala pelajar Sarjana Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Naqibah Solehah Md Amin mendapat tempat ketiga bagi kategori “New Energy and Sustainability ” dan pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom pula mendapat tempat kelima bagi kategori “Data analytics & IOT.”
Pemenang pertama, kedua dan ketiga setiap kategori juga diberikan tajaan yuran masuk ke persidangan “Future Energy Leaders & Energy Asia” anjuran PETRONAS yang bernilai RM5 ribu setiap satu.
Menurut Datuk Bacho, simposium tersebut diadakan bertujuan mempamerkan hasil penyelidikan dan teknologi yang berpotensi supaya dapat merancakkan lagi kolaborasi antara universiti dan PETRONAS, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada negara amnya dan PETRONAS khasnya.
Simposium yang disertai oleh lebih 20 universiti tempatan itu dirasmikan oleh Naib Presiden Kanan Petronas, Datuk Bacho Pilong.
Hadir sama ke majlis perasmian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.
Selain pameran teknologi, simposium tersebut diisi dengan pertandingan peringkat akhir ‘Innovation Pitch’ yang mana 19 kumpulan telah membentangkan inovasi mereka kepada panel industri yang berpengalaman.
19 kumpulan tersebut merupakan kumpulan yang telah disenarai pendek daripada lebih 90 penyertaan yang diterima di peringkat awal.
Seramai 41 pelajar UTHM juga turut menyertai simposium tersebut dan memanfaatkan peluang untuk berinteraksi dengan staf PETRONAS, ceramah kerjaya dan peluang-peluang lain yang ditawarkan oleh syarikat terbabit.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Inovasi & Pengkomersialan (ICC), UTHM, Dr. Noor Azizi Mardi, kejayaan pelajar UTHM dan maklum balas positif semasa pameran menunjukkan penyelidikan yang dijalankan di UTHM adalah relevan dan berpotensi untuk dikembangkan ke skala yang lebih besar.
“Kesudian Petronas untuk bekerjasama dengan universiti tempatan termasuk UTHM menunjukkan syarikat Fortune-500 tersebut amat menitikberatkan pembangunan teknologi tempatan.
“Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh semua dalam menyelesaikan isu-isu tempatan terutama yang terkait dengan kelestarian dan tenaga baharu,” katanya.
Beliau mewakili ICC turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan penyertaan tersebut terutama kepada penyelaras UTHM-CHESS, Dr. Wan Nurul Karimah Wan Ahmad, Bahagian Pengurusan Fasiliti Pejabat Pendaftar, staf-staf dan para pelajar.