Oleh Dr. Nursitihazlin Ahmad Termida, Norhafiza Samion, Prof. Madya Dr. Elizabeth M. Anthony

Bagi memperkasakan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pasukan Taskforce Problem-Based Learning (PBL) telah mengadakan Program Jerayawara PBL di beberapa pusat tanggungjawab (PTj) dan fakulti sekitar kampus induk Parit Raja dan kampus Pagoh bermula pada 5 Mac hingga 13 April 2023 lalu.

Untuk rekod, pasukan Taskforce PBL terdiri daripada 12 staf akademik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Elizabeth M. Anthony daripada Pusat Pengajian Bahasa telah ditubuhkan pada bulan Disember 2022 di bawah naungan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCA) UTHM, Profesor Ts. Dr. Azme Khamis.

Objektif pasukan Taskforce PBL tersebut ditubuhkan bagi berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai amalan PBL dalam kalangan staf akademik, memperkasakan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) di UTHM dan membantu merangka kaedah pelaksanaan PBL terbaik sejajar dengan Falsafah Pendidikan UTHM.

Walaupun banjir telah melanda di hampir seluruh kawasan di negeri Johor, termasuk di daerah Batu Pahat dan Pagoh pada bulan Mac dan April lalu, ia tidak menghalang pasukan Taskforce PBL UTHM untuk meneruskan program jerayawara PBL itu secara fizikal dan juga maya.

Hasilnya, 11 PTj dan fakulti telah berjaya dijelajah sepanjang program ini dijalankan, iaitu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Pusat Pengajian Diploma (PPD), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Pusat Pengajian Bahasa (PPB).

Hasil daripada tinjauan yang dibuat dalam kalangan staf akademik berkaitan PBL, didapati 39 peratus daripada keseluruhan bilangan staf akademik di UTHM berpengetahuan berkaitan PBL, manakala 25 peratus pula berkemahiran mengamalkan PBL dalam PdP mereka.

“Dengan kejayaan Jerayawara PBL itu, pihak kami berharap lebih ramai staf akademik akan mempelopori dan berkecimpung dalam amalan PBL demi mempelbagaikan lagi kreativiti dan kaedah pembelajaran yang menarik di UTHM.

“Usaha murni tersebut diharap dapat membantu pensyarah mengatasi kekangan serta cabaran dalam meningkatkan minat dan tahap pencapaian pelajar terutamanya dalam kursus-kursus yang penuh dengan teori dan maklumat,” kata Dr. Elizabeth.

 

Jerayawara PBL secara fizikal.
Jerayawara PBL secara maya.