BATU PAHAT, 22 Mei 2023 – Seramai 22 penuntut tahun satu program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menghasilkan reka bentuk prototaip alat bantuan untuk warga tua bagi membantu memudahkan aktiviti harian mereka.

Idea reka bentuk alat bantuan itu telah dipertontonkan dalam satu sesi demonstrasi di Pusat Jagaan Warga Tua Maimunah.

Projek ini merupakan sebahagian daripada projek semester yang sedang berjalan dan memenuhi keperluan kursus Studio Senibina 02.

Para pelajarnya dibimbing dibimbing oleh tiga pensyarah iaitu Nadiyah Noor Hisham, Dr. Azmal Sabil dan Nasrul Arif Ahmad Mahmud.

Menurut Nadiyah, projek tersebut dilaksanakan bertujuan untuk mendekati warga tua bagi mengetahui keperluan mereka dalam menjalani kehidupan seharian dengan berkualiti.

“Projek khidmat masyarakat ini telah mengambil masa selama empat minggu bermula daripada fasa reka bentuk sehinggalah penghasilan prototaip.

“Bahan yang digunakan pula adalah daripada bahan terbuang yang masih dalam berkeadaan baik,” katanya.

Tambah beliau, memandangkan reka bentuk yang dihasilkan adalah dalam peringkat prototaip, beberapa pembaikpulihan terutama berkaitan bahan yang digunakan boleh diperbaiki untuk penghasilan masa hadapan.

Antara aspek yang dikaji adalah berkaitan dengan pergerakan yang terbatas, sokongan bagi keseimbangan ketika pergerakan dan juga aktiviti harian seperti memakai kasut dan baju.

Kumpulan sasaran adalah warga tua berumur 60 ke atas yang memerlukan alat bantuan bagi membantu mereka mengendalikan kehidupan seharian dengan lebih baik.

Sementara itu, wakil Pusat Jagaan Warga Tua Maimunah, Hasifah Misnon merangkap jururawat bertugas berkata idea reka bentuk dan inisiatif yang dihasilkan oleh penuntut senibina itu sangat berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai keunikan tersendiri dan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan dan ubah suai perlu dilakukan pada sistem tersebut.

  *Lukisan salah satu kumpulan pelajar yang mereka bentuk  tongkat yang boleh digunakan sebagai sokongan ketika di bilik air. *Lukisan prototaip yang digunakan sebagai tongkat dan juga dapat membantu untuk memakai atau membuka kasut dan baju. *Warga Tua mencuba prototaip yang direka sekumpulan penuntut senibina untuk digunakan sebagai sokongan ketika di bilik air. *Prototaip ini juga boleh digunakan bagi memberi sokongan ketika menyusuri susur tangan di koridor hospital. *Warga Tua mencuba prototaip yang direka bentuk untuk memudahkan sokongan untuk bangun daripada katil. *Warga Tua mencuba prototaip yang direka penuntut senibina. *Seorang warga tua mencuba prototaip yang direka bentuk sebagai tongkat dan juga mempunyai alat bantuan membuka dan memakai baju dan kasut.    

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 17 Disember 2023: Mahasiswa UTHM bangunkan alat bantuan warga emas

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/mahasiswa-uthm-bangunkan-alat-bantuan-warga-emas