BACHOK – Bagi meningkatkan ilmu dan pengetahuan pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjayakan program SERIKAT melibatkan pelajar tahun tiga bagi Studio Seni Bina 6.

Program SERIKAT yang diadakan pada 19 dan 20 Mac lalu itu dilaksanakan bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar UTHM dan UMK selain untuk mencapai objektif pengajian dalam menganalisa tapak lawatan.

Penganjurannya diselaraskan oleh para pensyarah FKAAB iaitu Ar. Hazri Abdul Aziz, Ar. Mohd Jamil Mohd Hamberi dan Suhailah M Mohd Siraj, manakala pihak UMK pula diselaraskan oleh pensyarahnya, Nik Nurul Hana Hanafi.

Menurut Ar Hazri, peserta program telah berkerjasama menjayakan program SERIKAT yang membabitkan aktiviti lawatan dan analisis tapak, selain berkongsi maklumat tapak seperti sempadan lokasi dan topografi.

“Selari dengan maksud SERIKAT iaitu gabungan, tema program tersebut bersifat kesatuan yang mana pelajar Seni Bina dari UTHM dan UMK dapat menjalin hubungan erat dan menimba pengalaman baharu berkaitan pengetahuan dan kemahiran analisa tapak untuk dipraktikkan dalam dunia kerjaya kelak,” katanya.

Program selama empat hari tiga malam itu diisi dengan aktiviti lawatan ke UMK, penyampaian kuliah bertajuk: ‘Urban Language’ oleh Ar. Hazri dan analisa tapak secara bersama di Tambatan Diraja Kota Bharu, Kelantan.

Turut diadakan, lawatan ke Akademik Nik Rashidin bagi memahami seni ukiran dan seni bina vernakular serta lawatan ke Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Kumpulan peserta terbabit turut diwajibkan melaksanakan tugasan menganalisa tapak lawatan yang akan dimanfaatkan semasa Studio Seni Bina 6.

Kerjasama seumpama itu mampu memberi peluang kepada para pelajar dua universiti mengasah dan meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing seperti kemahiran berkomunikasi dan kemahiran kerja berkumpulan.

 

Lawatan tapak ke Tambatan Diraja, Kota Bharu, Kelantan.