Oleh Prof. Madya Dr. Zulida Abdul Kadir

BATU PAHAT – Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi menganjurkan program Community Service (CSR) iaitu “English Language Public Speaking (ELPS) bersama warga Sekolah Kebangsaan Felda Ayer Hitam bagi mendorong pelajar sekolah menguasai bahasa Inggeris.

Program CSR seumpama itu dilaksanakan untuk memberi peluang kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar untuk terlibat sama dengan aktiviti yang dijalankan oleh UTHM.

Seramai 15 pelajar UTHM terlibat dalam program tersebut dan dibantu tiga juri iaitu Profesor Madya Dr. Zulida Abdul Kadir, Iza Nurhidayah Ismail dan Siti Fatimah Murtaza.

Menurut Dr. Zulida, sebelum ini banyak program CSR tertumpu di sekolah-sekolah kawasan bandar Batu Pahat, namun perhatian kurang diberikan kepada sekolah luar bandar dan sekolah kurang murid (SKM).

“Bagi warga pengajar di UTHM, mengajar itu adalah rutin dan tanggungjawab yang seharusnya dilaksanakan dan ia menjadi sesuatu yang biasa.

“Tetapi tidak kepada warga sekolah yang mengharapkan kelainan selain sesi pembelajaran harian di sekolah,” katanya..

Beliau berkata pada pertemuan pertama bersama pelajar sekolah terbabit, mereka agak kekok untuk berbahasa Inggeris namun masih menunjukkan kesungguhan untuk mencuba.

Penerangan mengenai “public speaking” dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris bagi memberi motivasi kepada pelajar dalam usaha menerapkan “English environment” dalam sesi tersebut.

Sebahagian pelajar turut mencuba untuk berkomunikasi seterusnya memberi respon yang baik dalam program yang diadakan itu.

Manakala pertemuan kedua pula diadakan untuk melihat persediaan pelajar menghadapi pertandingan yang bakal dijalankan.

Pada ketika itu, pihak PPB turut menyumbang cadangan serta khidmat nasihat kepada para peserta untuk penambahbaikan bagi memastikan pelajar dapat membuat persembahan yang terbaik.

“Pelajar dilihat lebih selesa dan yakin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun memerlukan penambahbaikan dari segi tatabahasa,” katanya.

Pada 10 November 2022, para pelajar akhirnya mempersembahkan hasil latihan yang mengambil masa selama lebih kurang dua bulan.

“Ramai di antara mereka dapat melakukan dengan baik namun ada juga pelajar yang terlupa skrip persembahan namun mereka tidak putus semangat dan terus berusaha untuk menyelesaikannya tanpa bantuan teks dan rakan-rakan,” tambah Dr. Zulida.

Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas penganjuran program bermanfaat seumpama itu kepada PPB.

Mereka juga turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan UTHM bagi menganjurkan program-program yang dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah berkaitan suasana kampus dan pembelajaran di unversiti itu.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my): PPB UTHM dorong pelajar luar bandar kuasai bahasa Inggeris

PPB UTHM DORONG PELAJAR LUAR BANDAR KUASAI BAHASA INGGERIS