Oleh Prof. Madya Dr. Noorhaniza Wahid, Dr. Noraziahtulhidayu Kamarudin, Muhammad Fakri Othman

BATU PAHAT – Bersempena dengan perasmian Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor (RICHER) pada 24 Ogos 2022 lalu, Jabatan Multimedia dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah mengambil bahagian sebagai pempamer Projek Interaktif Multimedia dengan nama ‘Showcase FSKTM’.

Selaras dengan projek mendigitalkan sumber sejarah kebudayaan dan kesenian melalui RICHER, ‘Showcase FSKTM’ turut mempamerkan aplikasi AR-Galeri yang memaparkan  informasi mengenai Batu Pahat serta kesenian muzik gambusnya dengan menggunakan teknologi realiti terimbuh.

Selain itu, pelbagai jenis aplikasi interaktif multimedia yang telah dibangunkan oleh pelajar-pelajar FSKTM melalui Projek Sarjana Muda turut dipamerkan dan telah menarik minat ramai pengunjung.

Selain mengenali teknologi realiti terimbuh dan permainan digital, pengunjung juga dapat merasai pengalaman realiti maya dengan menggunakan peranti Oculus Quest 2.

Menariknya, ‘Showcase FSKTM’ juga telah memberi pendedahan kepada pengunjung tentang konsep metaverse yang mana pengunjung dari pelbagai lokasi berlainan boleh mengambil bahagian dalam pameran Showcase FSKTM ini secara maya dan berinteraksi dengan pengunjung lain melalui platform Spatial.

‘Showcase FSKTM’ ini dilihat telah berjaya membuka pandangan masyarakat tentang teknologi terkini dan bagaimana teknologi ini diadaptasikan dalam pelbagai bentuk aplikasi berkaitan.

Rentetan daripada ‘Showcase FSKTM’ ini, beberapa badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dan DBP Zon Selatan, Warisan Johor serta Arkib Negara Malaysia berminat untuk memperkasakan pendigitalan kandungan sejarah dan warisan Johor.

Kerjasama pelbagai pihak yang berminat untuk menggembleng idea dan menyasarkan sinergi projek pelajar akan datang sebagai usaha membangunkan projek interaktif multimedia diharap dapat menyebarluaskan maklumat dan keunikan sejarah serta kebudayaan negeri Johor kepada masyarakat.

Projek showcase ini diharap dapat menarik minat pelajar dan juga orang awam bukan sahaja sebagai salah satu potensi dari segi pelancongan kepada negeri Johor, malah dapat memberi pendedahan serta ruang bagaimana aplikasi multimedia boleh dipelbagaikan dalam bentuk aplikasi mudah alih dan juga aplikasi komputer sedia ada.

Aplikasi multimedia bukan sahaja dapat menarik minat orang awam serta bakal pelajar untuk belajar secara maya tetapi secara tidak langsung mereka akan menjadi lebih cakna berkenaan fakta sejarah dan kebudayaan negeri Johor, penubuhan UTHM sendiri dan keperibadian Tun Hussein Onn sebagai tokoh yang disegani dan harus dikenang dari segi ketegasan, kepemimpinan serta wibawa beliau mengenai isu-isu berteraskan pendidikan.