Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik oleh UNESCO-UNEVOC sebagai ketua bagi projek pembangunan kapasiti untuk staf dan pensyarah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara serantau.
Projek yang diketuai oleh Ts. Dr. Affero Ismail, penyelaras Pusat UNEVOC UTHM bertanggungjawab dalam memantau dan melatih staf serta pensyarah TVET di negara-negara yang telah ditetapkan seperti yang terkandung dalam memorandum perjanjian antara UTHM dan UNESCO-UNEVOC pada 25 Februari 2022 lalu.
Antara negara yang terlibat adalah Indonesia, Iran, China, Thailand dan Maldives.
Sementara itu, pada 15 dan 16 Jun lalu satu bengkel bertajuk “Kompetensi Digital untuk pensyarah dan staf TVET” yang telah diadakan di Politeknik Maldives, Republik Maldives.
Program yang telah dilaksanakan selama dua hari itu berfokuskan kepada isu dan cabaran dalam transformasi digital dan kompetensi digital sebagai sebahagian daripada Kesediaan Transformasi Digital.
Penceramah bagi program itu melibatkan pakar daripada Malaysia, Indonesia dan Iran yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang TVET.
Bengkel ini juga telah memetakan arah aliran dan cabaran terhadap latihan guru TVET dan tenaga pengajar melalui perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam konteks pendigitalan di setiap negara.
Majlis penutup program itu pula dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Maldives, Dr. Ibrahim Hassan bersama Khadeeja Adam dan Muhammad Hashim, State Minister for Higher Education; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pengarah Maldives Polytechnic.
Dr. Ibrahim menyatakan harapannya yang ingin melihat pensyarah TVET terutamanya di Maldives sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran dalam era digital.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak UTHM sebagai ketua delegasi serta kepada semua penceramah dari Malaysia, Indonesia dan Iran atas kesudian untuk berkongi ilmu serta kepakaran masing-masing.
Selain itu, UTHM turut menerima jemputan khas daripada pihak Menteri Pengajian Tinggi bagi memberi cadangan kepada pembangunan sektor TVET di Maldives.
Pada masa yang sama, pihak kerajaan Maldives pula menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi dengan kerajaan Malaysia dan UTHM khususnya dalam bidang TVET.
Lawatan dan perbincangan ini juga telah membuka lebih ruang untuk pakar daripada UTHM menyumbang kepakaran mereka dalam penubuhan TVET Centre di Maldives tidak lama lagi.