BATU PAHAT, 25 Mei 2022 – “Saya dan isteri tidak pernah menyangka akan bersama-sama berada di dalam dewan dengan memakai jubah konvokesyen sebagai graduan pada hari, waktu dan sidang yang sama,” kata Dr. Mohammad Firros Rosool Gani.
Mereka melahirkan rasa syukur kerana direzekikan berkonvo serentak pada hari yang sama sekali gus meninggalkan memori yang indah kepada anak-anak mereka.
Firros merupakan graduan Doktor Falsafah Pendidikan dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) manakala isterinya, Nur Fatihin Mohammad Ridzwan pula graduan Ijazah Sains Komputer (Pekomputeran Multimedia) dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).
Kedua-duanya yang mendirikan mahligai rumah tangga pada tahun 2018 sewaktu Nur Fatihin berada pada tahun terakhir pengajiannya. Manakala Firros yang juga merupakan guru Matematik dan Perniagaan di Sekolah Menengah Agama Bandar Tenggara, Kulai, Johor sentiasa menyokong perjuangan isterinya menamatkan pengajian.
Banyak kisah suka dan duka perkahwinan yang terpaksa dihadapi ketika masih dalam pengajian.
“Antaranya isteri pernah mengalami keguguran anak pertama ketika berada di semester akhir pengajian dan terpaksa menangguhkan latihan industri.
“Malah kesibukan saya membuat persiapan ujian lisan viva voce memerlukan kami saling memahami antara satu sama lain,” katanya.
Meskipun berada dalam negeri yang sama, namun pasangan ini kadang-kadang hanya dapat bertemu sebulan sekali sahaja dek kesibukan menyiapkan tugasan.
Pastinya sokongan kedua-dua keluarga dan adik beradik masing-masing merupakan tunjang ke arah pencapaian ini.
Segala cabaran ini akan menjadi kenangan yang indah untuk diceritakan kepada anak-anak kami, Soffea Salsabila El Fateh dan Alyssa Avelyn El Fateh.
Firros juga mahu menjadi inspirasi kepada anak-anak muridnya untuk terus berjaya dalam kehidupan walau apa juga cabaran yang datang menerpa.
Firros yang juga merupakan Pegawai Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSSTLDM) mahu membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan perancangan yang betul kita mampu mendapat apa yang dimahukan.
Firros juga memasang hasrat untuk berkhidmat sebagai pensyarah khususnya di UTHM, sebuah universiti yang banyak mengajar beliau tentang erti kehidupan seorang yang berilmu.
Manakala Nur Fatihin pula kini berniaga kek dan pastri dari rumah juga bercadang untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan atau swasta.