Oleh Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin
Institut Penyelidikan Pendidikan & Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) telah diberi mandat oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Malaysia (AKEPT) sebagai sebuah agensi bebas yang terlibat dalam penyelidikan, perundingan dan latihan TVET bagi menganjurkan Program Pembangunan Kepimpinan TVET.
Program ini melibatkan dua siri penganjuran iaitu Leadership Skills in the Digital Age: Challenges & Opportunities dan Sustainable Development Goals: Drive to Change yang diadakan pada 26 Oktober 2021 dan 30 November 2021.
Objektif utama dalam penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan terutamanya kepada kepimpinan TVET Malaysia dalam mengenal pasti pelbagai jenis kemahiran kepimpinan yang dapat mengatur perubahan secara drastik dengan mengaplikasikan pelbagai strategi inovasi, terutamanya dalam era digital pada masa kini.
Program ini juga dapat memastikan pemimpin TVET dapat menerokai potensi kemahiran digital yang bersesuaian dalam memastikan organisasi dapat bergerak dengan efektif.
Di samping itu, program ini mampu memberikan kefahaman dan input kepada pemimpin TVET terhadap Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals 2030 ke arah kelestarian dunia, dengan mempertimbangkan elemen ke-4 daripada 17 elemen iaitu ‘Pendidikan Berkualiti.’
Program ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa panel jemputan iaitu Prof. Madya Dr. Margarita Pavlova dari The Education University of Hong Kong; Prof. Dr. Ganemulle Lekamalage Dharmasri Wickramasinghe, Director General dari Colombo Plan Staff College; Dr. Young Saing Kim dari Korea Research Institute for Vocational Education & Training; Ts. Zainab Ahmad, Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; Prof. Dr. Abdul Karim Alias dari Universiti Sains Malaysia dan Dato’ Ts. Dr. Mohammad Naim Yaakub, Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Pendidikan & Latihan Vokasional Malaysia.
Pengarah MyRIVET, Prof. Madya Ts. Dr. Razali Hassan berterima kasih kepada pihak AKEPT kerana memilih MyRIVET sebagai penganjur kepada program ini.
“Terima kasih atas kepercayaan yang diberi dan pihak kami berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus dapat membantu dalam memartabatkan imej TVET negara,” katanya.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan peranan MyRIVET sebagai sebuah badan yang menjalankan kajian, perundingan, latihan dan perkhidmatan nasihat yang berfokus kepada bidang TVET.
Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly mewakili pihak universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak AKEPT dan semua peserta yang menghadiri program tersebut.
“UTHM berharap penganjuran program seumpama ini dapat membantu memastikan agenda TVET negara berada pada landasan yang tepat, bersesuaian dengan keperluan kepimpinan terkini dan pada masa depan yang memerlukan pemimpin yang kreatif, inovatif dan berketerampilan.
Program yang turut mendapat kerjasama dari Malaysia Board of Technologists (MBOT) ini disertai oleh 1,173 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan, sama ada dari universiti, politeknik, kolej komuniti dan agensi-agensi di bawah kementerian lain serta termasuk lebih 100 peserta antarabangsa.