Oleh Muhammad Naim Romzee, Iman Nurqayyum Nuramli, Nur Shafiqah Ahmad

Bagi menghasilkan graduan aeroangkasa yang cemerlang dan profesional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama beberapa pihak telah menganjurkan webinar bertajuk “How to be an aviation professional” secara dalam talian pada 15 Ogos 2021 lalu.

Asia Aeronautical Training Academy (AATA), Institution of Engineers Malaysia (IEM), Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV) dan Kelab Aeronautik UTHM telah bekerjasama menganjurkan webinar ini melalui aplikasi google meet bagi memberi pendedahan berkaitan pengukuhan nilai dan profesionalisme yang perlu ada dalam diri setiap penuntut aeroangkasa.

Inisiatif ini bagi membantu mereka mempersiapkan diri untuk bergelar graduan sekali gus menghadapi dunia pekerjaan.

Ts. Ricky Liew Chee Leong dari SR Aviation yang mempunyai pengalaman kerja melebihi 30 tahun sebagai jurutera penyenggaraan pesawat telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau bersama peserta.

Sebagai ketua di bahagian kejuruteraan, Ts. Ricky telah berkongsi beberapa perkara penting untuk persediaan bekerja di bidang aeroangkasa.

Antara yang dikongsikan beliau, para penuntut khususnya yang bercita-cita ingin menjadi juruterbang dan jurutera pesawat.perlu mempunyai minat, motivasi yang tinggi dan niat yang betul untuk menceburi industri ini

Katanya ciri-ciri tersebut akan membentuk integriti yang tinggi dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.

Tambah beliau, sebagai seorang yang profesional, setiap individu perlu mempunyai sikap untuk memperbaiki diri dengan menambah ilmu pengetahuan, mengikut kod etika yang telah ditetapkan oleh syarikat, bersedia untuk bekerja dalam situasi yang sukar dan bertanggungjawab kepada keselamatan awam.

Ts. Ricky turut menyarankan penuntut UTHM untuk menyertai badan profesional seperti Institution of Engineers Malaysia (IEM) untuk membina lebih banyak rangkaian dan informasi mengenai industri kejuruteraan.

Menurut beliau ahli IEM akan memperolehi pelbagai manfaat antaranya mendapat pengiktirafan dalam lembaga kejuruteraan, dapat mengetahui isu semasa dan perkembangan terkini industri serta boleh menggunakan sebahagian kemudahan yang disediakan IEM.

 

“Be an aviation professional means you not only expert in your works, but also can provide an important community purpose and empowerment.” – Ts. Ricky