Oleh Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah

BATU PAHAT – Penganjuran bengkel Enhancement for International and Mobility of Educator siri ke-3 secara dalam talian pada 11 dan 12 Ogos lalu sekali lagi membuka ruang dan peluang kerjasama antarabangsa kepada pendidik bagi memperkukuhkan lagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Untuk rekod, Centre of Research Sustainable Professional Education for Excellent Development (CoR-SPEED), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebelum ini telah menganjurkan International Education Forum & Workshop for TVET-Campus Sustainability 2021 bermula 28 April dan berakhir pada 12 Ogos 2021 lalu.

Golongan pendidik pada masa kini perlu mempunyai kesedaran global dan pemahaman budaya abad ke-21 supaya dapat mempersiapkan diri ke arah berfikiran global.

Bengkel siri ke-3 ini menyediakan ruang dan peluang serta meningkatkan pemahaman peserta terhadap kompetensi global, sekali gus meningkatkan pengetahuan, sikap dan kemahiran mereka sebagai pendidik.

Jurulatih yang terlibat pada siri ke-3 ini ialah Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz, juga merupakan pengarah program ini telah berkongsi tentang ‘Penerokaan Perkembangan Kompetensi Global Pendidik’ melalui perkongsian bi-lateral dan multi-lateral.

*Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz menjelaskan kepentingan bi-lateral dan multi-lateral kepada para peserta

 

Manakala, bagi slot ‘Rahsia Mencari Peluang Mobiliti’ pula disampaikan oleh Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah bertujuan memberi pendedahan bagaimana meneroka peluang mobiliti peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dr. Mohd Zulfadzli Rozali iaitu trainer ke-3 pula dalam sesinya menyatakan bahawa etika sangat penting dan perlu diambil kira jika hendak memastikan hubungan baik sentiasa terjalin antara kedua-dua institusi.

“Ketrampilan diri merupakan perkara pertama yang akan dihakimi oleh orang lain terhadap diri kita,” katanya.

 

*Dr. Mohd Zulfadzli Rozali sedang menjawab soalan dari peserta

 

Pada siri bengkel terakhir ini juga, SPEED turut merakamkan penghargaan kepada peserta yang terlibat secara aktif dan konsisten sepanjang program dilaksanakan selama hampir empat bulan.

*Pengumuman peserta terbaik sepanjang bengkel dari April hingga Ogos

 

Maklum balas daripada peserta rata-ratanya menunjukkan mereka gembira dan berpuas hati dengan setiap siri bengkel yang diikuti kerana banyak memberi manfaat kepada mereka.

“Saya berharap bengkel ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana sangat membantu saya sebagai pendidik,” kata Dr. Pracha Yuenyongkul dari Rajamangala University Technology of Lanna (RMUTL), Thailand.

Sesi penutup program ini telah disempurnakan oleh Dekan FPTV, Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq.

Beliau turut memberi sokongan penuh jika program seperti ini dapat diteruskan untuk manfaat fakulti dan juga universiti.

 

*Dekan FPTV, Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq menyampaikan ucapan ketika sesi penutup